Lelaki pukul isteri guna dumbel hingga maut direman seminggu

Iklan
Seorang lelaki direman tujuh hari untuk siasatan kes bunuh isterinya di kediaman mereka di Shah Alam.

SHAH ALAM - Mahkamah Majistret di sini, pada Sabtu membenarkan tempoh reman tujuh hari ke atas seorang lelaki yang disyaki membunuh isterinya menggunakan dumbel di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak di sini awal pagi Jumaat.

Perintah reman bermula Sabtu hingga Jumaat depan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Saidatul Akmar Suberi.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, media melaporkan seorang pensyarah kolej maut dipukul suaminya akibat cemburu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan kes itu diterima pihaknya pada jam 5.33 pagi daripada suami mangsa yang mengatakan isterinya mengalami sawan dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital.

Iklan

Menurutnya, pemeriksaan awal oleh doktor Hospital Shah Alam terhadap mangsa mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuh.

"Suspek kemudian telah diberkas pada jam 12.49 tengah hari, hari yang sama selain rampasan senjata yang dipercayai digunakan untuk memukul isterinya iaitu dumbel," katanya.

Iklan

Beliau berkata, semakan ke atas suspek berusia 38 tahun yang bekerja sendiri itu didapati memiliki dua rekod lampau bersabit kes pukul dan dadah.

Katanya, saringan air kencing suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

"Semakan juga mendapati pasangan itu berkahwin pada April lalu dan ketika kejadian mangsa yang bekerja di Sarawak pulang bercuti untuk menghadiri perkahwinan adik iparnya," ujarnya.

Tambah Mohd Iqbal, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948.