Buka tingkap nampak gajah

Iklan
Keadaan tanaman di belakang rumah Banon (gambar kecil) yang dirosakkan gajah liar.

KOTA TINGGI - Akhir-akhir ini penduduk di Kampung Lukut 'dimeriahkan' dengan bunyi dentuman mercun dan meriam bukan untuk meraikan perayaan, tetapi sebaliknya bertujuan menghalau gajah liar yang menceroboh kawasan kampung.

Penduduk, Banon Mohamad Yusof, 60, berkata, kediamannya antara yang menjadi mangsa apabila tanaman pisang habis dirosakkan haiwan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kelibat haiwan itu dapat dilihat di kampung seawal jam 8 malam sehingga jam 6 pagi.

"Isu gajah ni sudah lama di kampung ini. Mereka datang masuk ke kawasan kampung mungkin kerana lapar mahu mencari makanan sebab itu tanaman penduduk habis dikerjakan.

Iklan

"Kami penduduk di sini diibaratkan seolah-olah boleh pegang gajah liar ini sebab buka sahaja tingkap rumah dah boleh nampak mereka," katanya.

Tambahnya, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan penduduk kerugian akibat tanaman rosak, tetapi turut membuatkan penduduk tidak senang hati.

Iklan

Katanya, tambahan pula baru-baru ini terdapat berita mengenai seorang pekerja ladang yang maut akibat diserang gajah liar membuatkan penduduk gusar.

"Ada tindakan dari pihak berkenaan termasuklah menghalau haiwan liar itu. Alhamdulillah gajah ini tidak kacau penduduk sehingga kemalangan jiwa.

"Namun sekarang penduduk yang balik kerja lewat malam berada dalam keadaan ketakutan. Ibu bapa yang hendak hantar anak ke sekolah subuh hari juga perlu lebih berwaspada,"katanya lagi.

Bagi Mohd Yazid Ayub, 49, kejadian berulang dengan kehadiran gajah di kampung itu dan sekitarnya menjadi kebimbangan seluruh masyarakat di situ.

Dakwanya, penduduk kampung berada dalam ketakutan apabila segerombolan gajah sebanyak 21 ekor memakan tanaman serta memusnahkan pokok-pokok sawit dan juga pokok kelapa yang mana mungkin akan mengancam keselamatan penduduk.

"Kejadian berulang ini telah berlaku terlalu kerap sejak dua bulan yang lalu. Penduduk kampung boleh dikatakan setiap malam berjaga malam untuk menghalau bagi menghalang kehadiran gajah ini yang dahulunya hanya berada di pinggiran kampung, tetapi kini telah berada di dalam halaman rumah penduduk kampung.

"Jabatan Perhilitan ada bersama membantu, namun mereka berdepan kekurangan anggota. Kehadiran gajah ini juga berpunca dari pembalakan di hutan pinggiran kampung yang dilihat harus dihentikan.

"Kita difahamkan Jabatan Alam Sekitar juga telah melarang kerja pembalakan tersebut kerana ianya turut merosakkan tujuh struktur sungai yang mengalir ke arah kampung kami,"katanya.

Jelasnya, apa diharapkan santuari gajah yang digembar-gemburkan sebagai jaminan bagi menghalang gangguan gajah ini dapat disegerakan pembinaannya dan dikaji semula kapasiti gajah liar yang mampu dimuatkan kelak.