Mustahil boleh selesai isu berkaitan tanah dalam dua minggu - Sanusi

Iklan
Anwar (kiri) dan Sanusi ketika hadir dalam lawatan kerja ke Sadao, Thailand.

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi menyifatkan adalah mustahil untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit khususnya membabitkan tanah dalam tempoh dua minggu bagi membangunkan jajaran jalan baharu menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

Beliau berkata, ini kerana projek berkenaan melibatkan pengambilan tanah dan mengambil masa untuk diselesaikan.

Iklan

Menurutnya, biarpun berdepan kekangan kerajaan negeri memberi jaminan akan melaksanakan proses pengambilan tanah dan hal berkaitan secepat mungkin mengikut perundangan sedia ada bagi mempercepatkan pembangunan projek tersebut.

"Perdana Menteri mahu selesaikan perkara tersebut dalam masa dua minggu. Pada pandangan saya, ia mustahil kerana isu tanah melibatkan Kanun Tanah Negara (KTN) dan jika melibatkan undang-undang tanah, akan ambil masa,” katanya dalam sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Iklan

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke CIQ Sadao dan ICQS Bukit Kayu Hitam, membincangkan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara turut berbincang mengenai pergerakan lalu lintas yang pantas dan selamat kepada rakyat, menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao dan projek tertangguh itu harus disiapkan segera.

Anwar mahu semua isu berbangkit terutama yang menyentuh laluan baharu, dirunding dalam tempoh dua minggu untuk diselesaikan.

Sanusi memaklumkan, rundingan kemungkinan memerlukan sedikit masa kerana terdapat tanah laluan dipajak kepada sebuah syarikat, selain terdapat tanah yang diduduki ketenteraan dan veterinar.

"Ada tanah yang perlu buat bawah warta pengambilan dan ada perlu gunakan borang kesegeraan. Semua proses berkenaan bawah bidang kuasa negeri,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai ketua kerajaan, beliau berazam dan penuh semangat untuk memberi kerjasama sepenuhnya agar projek tersebut menjadi kenyataan.

"Thailand mahu siapkan projek itu tahun depan sebab ia sudah bermula dan ambil masa satu setengah tahun. Jajaran kita pula berdasarkan proses biasa akan ambil masa lima tahun. Perundingan itu bukan bermula Ahad lepas tetapi bermula sejak tiga tahun lalu,” jelasnya.

Sanusi tegaskan, isu utama projek berkenaan adalah berkaitan tanah dan merupakan bawah bidang kuasa negeri untuk diselesaikan.

"Dalam mesyuarat ‘pre council’ saya ada ruang untuk bercakap. Antara masalah berbangkit melibatkan agensi dan jabatan seperti JKR, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian.

"Harus diingat pintu Sadao akan bersambung dengan Kedah, bukan bersambung dengan Wilayah Persekutuan. Tak ada wilayah selatan Thailand yang bersambung dengan Wilayah Persekutuan.

"Oleh itu, kerajaan Persekutuan harus menghormati bidang kuasa negeri selari dengan konsep federalisme yang menghormati bidang kuasa masing-masing,” tegasnya.

Iklan
Iklan