Periuk nasi terjejas

Iklan

GUA MUSANG - Seramai 250 peserta Projek Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Rantau Manis menggesa pihak pengurusan mengkaji semula potongan kadar penyelenggaraan yang berkuat kuasa bermula Januari ini.

Sebelum ini, mereka dibayar RM160 perhektar bagi kerja-kerja penyelenggaraan ladang, namun bermula bulan ini, kadar berkenaan dikurangkan kepada RM110 setiap hektar.

Iklan
Iklan

Wakil peserta, Mohamad Kamaruzzaman Che Udin, 43, berkata, setiap peserta menguruskan 3 hingga 5 hektar ladang di mana purata pendapatan hanya sekitar RM960 sebulan.

Katanya, jika RM50 setiap hektar dikurangkan, bermakna pendapatan mereka akan berkurangan hingga RM250 sebulan bagi lima hektar ladang.

Iklan

"Rata-rata peserta menerima pendapatan bulanan RM960 sebulan. Jika RM250 dikurangkan, kami hanya mendapat RM710 sahaja.

"Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bagaimana kehidupan kami sekeluarga dengan pendapatan serendah itu?

Iklan

"Pada pertengahan bulan, kami akan menerima wang pendahuluan sebanyak RM300 dan selebihnya gaji akan diterima pada setiap 7 hari bulan,” katanya.

Tambahnya lagi, pendapatan bulanan tidak tetap kerana ia bergantung kepada hasil ladang yang berbeza.

"Kami tidak kisah sekiranya potongan dibuat ekoran harga pasaran sawit yang murah. Namun bila melibatkan kos penyelenggaraan, ia menjejaskan periuk nasi kami.

Beri kesan kepada kos sara hidup

Bagi peserta, Khairul Nizam Che Hamdan, 38, meskipun rumah disediakan dan tidak perlu dibayar, namun perbelanjaan harian terutamanya anak-anak perlu diambil kira.

Katanya, bagi setiap anak, pengurusan menetapkan bayaran RM20 sebulan untuk kemudahan pengangkutan bas ke sekolah berdekatan.

"Jika ada lima orang anak, bayaran yang dikenakan RM100 sebulan. Dengan gaji yang semakin rendah, bagaimana kami mahu uruskan kehidupan seharian.

"Ada di antara peserta tidak mampu menghantar anak ke sekolah apabila tiba hujung bulan kerana kekangan kewangan dan tak mampu nak beri duit belanja kepada anak-anak.

"Anak-anak peserta yang bersekolah meliputi tiga buah bas di sekolah rendah dan sebuah di sekolah menengah. Anak-anak bersekolah di sekolah berdekatan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh, SK Renok, SK Chiku dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap,” katanya.

Bagi isteri peserta, Rosnanie Maliki, 33, potongan kadar penyelenggaraan itu benar-benar memberi impak kepada mereka sekeluarga.

Katanya, dengan kos sara hidup yang tinggi, jumlah RM700 sebulan adalah satu pendapatan yang tidak berasas.

"Bil api dan air sudah RM100, perbelanjaan anak-anak sekolah lagi dan belanja harian pula. Mana nak cukup, tambah-tambah lagi, bantuan persekolahan juga kita tidak dapat pada tahun ini.

"Kita tidak minta kadar pendapatan atau gaji pokok dinaikkan. Cuma kita minta kekalkan bayaran penyelenggaraan. RM250 ini agak besar bagi kami yang serba kekurangan.

"Selama ini, untuk mengharapkan gaji suami sepenuhnya juga tidak mampu buat kami sekeluarga. Saya turut keluar bekerja menjual aiskrim dengan motosikal bagi membantu meringankan beban suami,” katanya.

Kadar terlalu tinggi

Dalam satu kenyataan media, Majli Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan mengkaji semula pelaksanaan kadar upah (penyelenggaraan) yang dicadangkan bagi menangani kebimbangan peserta mengenai perkara tersebut.

Dalam kenyataan berkenaan, keputusan pengoptimuman kos adalah untuk memastikan projek terus mampan di masa depan dan memberi manfaat kepada peserta dalam jangka panjang.

"Dengan kejatuhan harga kelapa sawit di pasaran dunia, usaha pengoptimuman kos adalah penting untuk memastikan kemampanan jangka panjang projek Agropolitan yang dimulakan sejak 2009 ini.

"Kadar sebelum ini terlalu tinggi dan melebihi kadar industri yang dibayar di ladang-ladang lain. Biarpun pemotongan dibuat, namun ia masih lebih tinggi, melebihi kadar industri yang dibayar ladang lain.

"Sasaran pendapatan minimum bagi peserta adalah RM1,100 sebulan. Bagaimanapun pada hari ini, rata-rata peserta memperoleh RM1,500 sebulan bergantung kepada produktiviti mereka setiap tan di mana ada yang mencecah RM3,000 sebulan.

Selain itu, ECERDC dan Kesedar sentiasa komited untuk menjaga kepentingan jangka masa panjang peserta supaya ia terus dapat memberi manfaat.