Tren penumpang ECRL akan beroperasi pada kelajuan maksimum 160 km/j

Iklan
Peta jajaran ECRL

SHAH ALAM - Kereta api penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi secara komersial pada Januari 2027 dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dapat mencapai kelajuan maksimum 160 kilometer per jam (km/j).

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam satu kenyataan berkata, ia susulan laporan media baru-baru ini yang memetik seorang pakar dari China mencadangkan bahawa kelajuan ECRL boleh dipertingkatkan ke 351 km/j.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan yang dibuat semasa forum Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) ASEAN itu adalah tidak tepat dan mengelirukan.

"Reka bentuk rel merangkumi ketinggian dan lengkung mendatar serta kecerunan yang tidak setanding dengan landasan kereta api berkelajuan tinggi memandangkan sebahagian besar jajarannya di negeri-negeri Pantai Timur.

Iklan

"Kawasan tanah ini bermasalah, menembusi kawasan berbukit dan lintasan sungai yang besar. Jadi, ECRL kekal sebagai kereta api laju sahaja bagi tujuan penumpang dan tidak boleh dinaik taraf di bawah spesifikasi kejuruteraan serta sistem pengendalian semasa,” katanya pada Sabtu.

Naib Presiden Pusat China dan Globalisasi berpangkalan di Beijing, Victor Gao sebelum ini dilapor mencadangkan supaya kelajuan ECRL ditingkatkan untuk mengatasi projek kereta api laju Indonesia.

Iklan

Tambah MRL, reka bentuk ECRL menitikberatkan pengangkutan kargo sejajar dengan unjuran nisbah hasil iaitu 70 peratus perkhidmatan dan 30 peratus penumpang semasa fasa pengoperasian.

"Walaupun jajaran MRL menggunakan landasan tolok standard (1.435 meter), ia mesti memenuhi pengoperasian lokomotif dan gerabak yang membawa kargo pada kelajuan maksimum 80 km/j sahaja.

"Namun, kereta api penumpang ECRL dapat menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak dalam masa empat jam berbanding tujuh jam,” ujarnya.