Ketua RCI mafia korporat perlu bebas pengaruh eksekutif - C4

Iklan
Mana-mana pegawai yang mempunyai kepentingan langsung dalam perkara yang disiasat hendaklah dikecualikan. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Individu yang dicadangkan untuk mengetuai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau pasukan petugas khas bagi menangani isu mafia korporat perlu ada jaminan bahawa pelantikan itu dibuat secara bebas daripada pengaruh eksekutif atau politik.

Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4 Center) dalam satu kenyataan berkata, sekiranya tidak diberikan kebebasan yang sewajarnya, akan ada keraguan terhadap kemampuan individu berkenaan untuk mencapai matlamat yang diharapkan iaitu benar-benar membanteras korupsi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada masa lalu, RCI telah terbukti bermakna dalam mendedahkan perincian khusus serta selok-belok dalam skandal korupsi yang rumit.

"Berhubung aspek korupsi, terdapat isu yang pernah dibangkitkan sebelum ini bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh terdedah kepada pengaruh eksekutif, memandangkan pelantikan Ketua Pesuruhjayanya dibuat melalui kuasa budi bicara Perdana Menteri.

Iklan

"Bagi memastikan korupsi dapat ditangani sepenuhnya, pembaharuan reformasi perlu dilaksanakan untuk mewujudkan sebuah agensi yang benar-benar bebas dan bertanggungjawab," ujarnya pada Selasa.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berpendapat, cadangan melibatkan Mohd Shuhaily dalam pasukan petugas khas antara agensi perlu dinilai berdasarkan keperluan, kebebasan dan keberkesanannya menegakkan keadilan.

Iklan

Jelasnya, keseriusan membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa mesti dibuktikan melalui kesediaan menyiasat semua pihak berdasarkan bukti, termasuk apabila dakwaan menyentuh mereka yang mempunyai kuasa atau pengaruh.

"Kedua-dua cadangan ini mempunyai pertimbangan yang berbeza. Pelantikan seseorang melibatkan kesesuaian penugasan dan keperluan operasi, manakala penubuhan RCI melibatkan skop penelitian serta kemampuan mekanisme sedia ada menangani kemungkinan kelemahan sistemik.

"Oleh itu, apa juga mekanisme yang dipilih, rakyat berhak mengetahui pihak yang mengetuainya, skop mandat, aturan pengawasan dan cara konflik kepentingan diuruskan.

"Mana-mana pegawai yang mempunyai kepentingan langsung dalam perkara yang disiasat hendaklah dikecualikan daripada pengendalian atau keputusan berkaitan. Ketelusan proses boleh dipertingkat tanpa mendedahkan bahan bukti atau menjejaskan siasatan," ujarnya.