Biasiswa ChefMuda Mahsuri buka peluang anak B40

Iklan
Mohd Jazri (duduk, tiga dari kanan) dan Chef Moh Johari (duduk, empat dari kiri) bersama 10 pelajar yang menerima tajaan penuh Program Biasiswa ChefMuda Mahsuri 2026.

SETIA ALAM - Seramai 10 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) terpilih menerima tajaan penuh Program Biasiswa ChefMuda Mahsuri 2026 sekali gus membuka peluang membina kerjaya dalam bidang kulinari tanpa dibebani kos pengajian.

Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, tajaan tersebut meliputi keseluruhan yuran pengajian, penginapan sepanjang empat bulan di Food Institute of Malaysia (FIM) dan elaun sara hidup.

Iklan
Iklan

Menurutnya, biasiswa itu membolehkan pelajar memberi sepenuh tumpuan kepada pembelajaran tanpa memikirkan beban kewangan.

“Program ini juga tidak mempunyai sebarang ikatan, sebaliknya kita berharap mereka yang mempunyai aspirasi untuk jadi cef dapat memanfaatkan peluang diberikan,” katanya ketika ditemui di hotel Courtyard by Marriott Setia Alam pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Jazri berkata, pelajar bakal mengikuti Program Sijil Hidangan Tradisional Malaysia selama tujuh bulan, merangkumi empat bulan pembelajaran di FIM serta tiga bulan latihan industri.

Selain itu katanya, pelajar tahun ini juga berpeluang menjalani latihan industri di hotel bertaraf antarabangsa, Courtyard by Marriott Setia Alam.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata pemilihan penerima biasiswa diberi keutamaan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keluarga kurang berkemampuan yang berminat menjadikan bidang kulinari sebagai kerjaya.

“FIM turut bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor bagi mengenal pasti golongan memerlukan, selain menerima permohonan secara terus serta menjalankan sesi temu duga terhadap calon,” katanya.

Sementara itu, Penasihat FIM, Chef Moh Johari Idrus berkata, kerjasama strategik bersama Mahsuri Dagang merupakan satu perkembangan membanggakan dalam usaha menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar kurang berkemampuan.