Buat aduan jika terjejas boikot - Sivakumar

Iklan
V. Sivakumar menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Kesatuan Pekerja Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Mana-mana individu yang terjejas akibat kempen boikot digesa membuat aduan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Bagaimanapun Menteri KSM, V Sivakumar memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu setakat ini.

"Kalau ada pekerja yang terjejas, dibuang kerja dan sebagainya mereka mempunyai hak untuk membuat aduan dan kami akan melihat perkara itu dan mengambil tindakan," katanya sidang media sempena Perhimpunan Persatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kesan kempen boikot yang dilihat semakin memuncak susulan peperangan antara Palestin dan Israel yang memasuki hari ke-39.

Gerakan kempen boikot terhadap produk Israel dan sekutunya bukan hanya berlaku di negara ini malah seluruh dunia mengambil tindakan sama sebagai solidariti bersama Gaza.

Iklan

Peperangan sejak 7 Oktober lalu yang membabitkan Hamas iaitu pihak yang berkuasa di Gaza dan rejim Israel telah meragut ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Sivakumar mengumumkan keanggotaan kesatuan telah mencapai 1 juta, dua tahun lebih awal daripada sasaran asal iaitu tahun 2025.

Iklan

"Sehingga 30 Oktober jumlah keanggotaan kesatuan sekerja di negara ini adalah seramai 1,008,371.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan semua kesatuan sekerja kerana telah sama-sama merealisasikan hasrat kerajaan ini," katanya.

Ujar beliau, nisbah ideal bagi keahlian kesatuan sekerja adalah separuh daripada jumlah pekerja iaitu 16 juta.

"Kita sasarkan pertambahan 50,000 anggota baharu menyertai kesatuan sekerja tahun depan.

"Kesatuan sekerja sentiasa perjuang hak pekerja bagi pastikan hak pekerja dilindungi.

"Jika tidak mempunyai jumlah yang secukupnya maka dengan kata lain ia dilihat hak pekerja tidak dilindungi.

"Justeru kita perlukan jumlah anggota kesatuan sekerja yang tinggi,” katanya.