Jepun hukum gantung lelaki China

Iklan
Menteri Kehakiman Jepun, Masako Mori bercakap ketika sidang akhbar di Tokyo, Jepun hari ini melaksanakan hukuman gantung terhadap seorang banduan warga China yang disabit membunuh empat sekeluarga. - Foto AFP

TOKYO - Jepun hari ini melaksanakan hukuman gantung terhadap seorang lelaki warga China yang disabitkan bersalah membunuh empat sekeluarga yang mayat mereka ditemui bergari dan diikat dengan dumbel di sebuah teluk, kata menteri kehakiman.

Masako Mori berkata, beliau mengarahkan hukuman terhadap Wei Wei selepas pertimbangan teliti susulan rompakan dan pembunuhan yang dilakukannya bersama dua lagi pelajar pada tahun 2003.

Iklan
Iklan

"Ia merupakan kes yang amat kejam apabila sebuah keluarga bahagia termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan dan 11 tahun dibunuh kerana sebab yang mementingkan diri," kata Mori.

Wei, 40, seorang bekas pelajar bahasa di Jepun mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan bunuh tersebut namun menegaskan dia bukan orang penting dalam kes terbabit.

Iklan

Kerana wang, trio berkenaan dilaporkan merompak kediaman seorang ahli perniagaan Jepun, Shinjiro Matsumoto, 41, di bandar Fukuoka pada bulan Jun 2003 dan menjerut mangsa dengan tali leher.

Isteri Matsumoto bernama Chika, 40, dilemaskan dalam tab mandi sementara anak-anak mangsa dicekik atau dilemaskan.

Iklan

Mayat keluarga malang itu kemudian dibuang di Teluk Hakata di bandar Fukuoka dan ditemui dalam keadaan bergari.

Dua rakan subahat Wei melarikan diri ke China namun dilaporkan ditahan di sana. Salah seorang telah dihukum mati pada tahun 2005, tahun sama sebuah mahkamah China menjatuhkan hukuman mati terhadapnya sementara rakan subahatnya dihukum penjara seumur hidup.

Dengan lebih 100 banduan di penjara maut, Jepun merupakan antara negara maju yang mengekalkan hukuman mati dan sokongan awam terhadap hukuman tersebut kekal tinggi meskipun menerima kritikan antarabangsa termasuk daripada kumpulan hak asasi manusia. - AFP