Lapan maut militan al-Shabaab serang bas di Kenya

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

NAIROBI - Militan al-Shabaab, sekutu al-Qaeda yang berpangkalan di Somalia dipercayai membunuh lapan orang di dalam sebuah bas semalam di utara Kenya, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa.

Komander Polis Wajir County, Stephen Ng'etich memberitahu pemberita bahawa sekumpulan lelaki bersenjata telah menyerang hendap bas itu yang dalam perjalanan ke Mandera petang semalam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penyerang mengasingkan penduduk tempatan dari Wajir County yang kebanyakannya adalah orang Islam dan membebaskan bas itu untuk meneruskan perjalanan sebelum membunuh baki penumpang yang merupakan pelawat ke kawasan tersebut.

Pejabat Ketua Polis Kenya berkata, sepasukan anggota keselamatan telah dihantar ke lokasi kejadian.

Iklan

Lokasi Wajir yang hampir dengan sempadan Kenya-Somalia telah menyaksikan pelbagai serangan militan al-Shabaab yang telah meragut nyawa beratus-ratus orang.

Pada November 2014, militan al-Shabaab telah membunuh 28 guru Kenya selepas mengasingkan orang Islam di Mandera, sebuah pekan yang bersempadan dengan Wajir.

Iklan

Pada 2 Dis 2014, sejumlah 36 pekerja kuari beragama Kristian telah dibunuh di Mandera oleh militan itu yang menyebabkan kerajaan meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang kawasan sempadan. - Bernama