'Hanya salah faham'

Iklan
AHMAD
PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) tampi menjelaskan situasi sebenar berkaitan kontroversi membabitkan mutu pengadilan yang berlaku dalam saingan Sepak Takraw League 2018 (STL2018) minggu lalu.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, insiden itu terjadi hanyalah kerana salah faham dan ianya sudah diselesaikan dengan baik oleh semua pihak yang terlibat.

"Kesilapan tempoh hari berlaku apabila juri telah membuat keputusan daripada challenge yang diminta Penang Black Panthers. Juri menyampaikan keputusan itu kepada pengerusi pengadil yang kemudiannya melalui walkie talkie akan memaklumkan kepada pengadil dalam gelanggang.

"Tetapi pada hari itu didapati bahawa bila pengerusi pengadil memaklumkan mata diberi kepada Penang Black Panthers, tetapi pengadil pula tersilap cakap yang mata diberi kepada KL thunder. Jadi bila umum beri kepada KL, pemain Penang protes dan pemain agak marah, masa itulah pengerusi pengadil, Fadzil Hashim masuk dan selesaikan bahawa mata itu milik Black Panthers.

"Selepas habis perlawanan semua berpuas hati dengan penjelasan malah, ada yang turut minta maaf kepada PSM dan STL kerana buat kenyataan yang terlalu mengkritik pengadil. Jadi, kita anggap isu ini sudah selesai," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

Ahmad berkata demikian bagi mengulas kritikan ramai pihak terutama peminat sepak takraw yang mempertikai mutu pengadilan dalam perlawanan membabitkan KL Thunder-Penang Black Panthers yang dianggap lemah hingga menyaksikan berlakunya sedikit ketegangan sebelum berjaya dileraikan.