Ronaldo tamatkan mogok, sedia kembali perkuat Al Nassr

Iklan
Ronaldo

BINTANG sensasi, Cristiano Ronaldo dilaporkan telah mengambil keputusan untuk menamatkan tindakan memboikot perlawanan Al Nassr, menurut sumber kepada ESPN.

Pemain berusia 41 tahun itu sebelum ini menyisihkan diri daripada dua perlawanan Liga Pro Saudi melibatkan kemenangan 2-0 ke atas Al Ittihad Jumaat lalu serta kemenangan menentang Al Riyadh minggu sebelumnya.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, kapten Portugal itu mengesahkan akan kembali menyarung jersi pasukan bagi pertemuan menentang Al Fateh pada 14 Februari ini.

Difahamkan, Al Nassr turut mempunyai jadual perlawanan pada Rabu ini di Arkadag bagi saingan Liga Juara-Juara Asia Dua.

Iklan

Terdahulu, ESPN melaporkan bahawa tindakan Ronaldo tidak beraksi dalam dua perlawanan tersebut berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap Tabung Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi serta kurangnya bantuan dana kepada kelabnya ketika jendela perpindahan pemain.

Ronaldo dikatakan kecewa apabila melihat pesaing utama kelabnya, Al Hilal—yang turut dimiliki 75 peratus oleh PIF berjaya menandatangani bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema dari Al Ittihad pada jendela perpindahan Januari.

Iklan

Bagaimanapun, laporan terkini menyebut bahawa Ronaldo bersetuju untuk kembali ke padang selepas melihat tuntutan utamanya dipenuhi oleh PIF.

Bintang itu menyatakan kesediaannya untuk kembali beraksi selepas badan induk berkenaan melangsaikan tunggakan gaji Al Nassr dan mengembalikan autonomi pengurusan kepada eksekutif tertinggi kelab.

Susulan persetujuan itu, Pengarah Sukan, Simao Coutinho dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jose Semedo yang sebelum ini digantung tugas oleh PIF kini dilaporkan memperoleh semula kuasa mereka, kata sumber.

Setakat musim ini, Ronaldo telah beraksi dalam 22 perlawanan untuk pasukan itu, meledak 18 gol serta menyumbang tiga bantuan gol.

Kedudukan semasa menyaksikan Al Nassr kini berada di tangga kedua Liga Pro Saudi, hanya ketinggalan satu mata di belakang musuh tradisi, Al Hilal.