TERDAPAT kelompongan atau 'loophole' dalam statut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang berpotensi memberi kelebihan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menang di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Peguam Sukan, Zhafri Aminurrashid berpandangan, kekuatan hujah FAM terletak pada isu sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh dua negara berdaulat dengan FIFA dilihat tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menolak atau menentukan bahawa dokumen rasmi milik Malaysia adalah palsu.
Menurutnya, faktor tersebut mungkin bakal menjadi penentu utama sekiranya CAS menerima sijil kelahiran yang dikeluarkan Malaysia sebagai sah sekali gus membolehkan tujuh pemain warisan beraksi untuk skuad kebangsaan.
"Dari segi dokumen, kita mempunyai hujah yang kuat kerana kita adalah negara berdaulat. Apabila sesebuah negara berdaulat mengeluarkan suatu dokumen rasmi, ia mestilah diiktiraf oleh negara-negara lain.
"Di sinilah wujudnya 'loophole' tersebut, iaitu dokumen mana satu yang akan dikategorikan sebagai boleh diguna pakai oleh badan induk itu," katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, FIFA menjatuhkan hukuman kepada tujuh pemain warisan negara selepas didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen.
FAM ketika ini sudah membawa kes tersebut ke CAS dan proses pendengaran dijangka pada 26 Februari ini dan keputusan akan diumumkan pada tarikh yang lain.
Mengulas lanjut, Zhafri berkata, sekiranya surat beranak yang dikemukakan Malaysia diterima, ia sudah memadai untuk memenuhi peraturan FIFA yang mewajibkan bukti unsur warisan sekurang-kurangnya mempunyai pertalian darah datuk atau nenek.
"Berdasarkan dokumen itu, kita boleh katakan semua syarat sudah dipenuhi untuk pemain tersebut beraksi. Persoalannya kini, adakah pihak sana berani untuk menyatakan salah satu surat beranak ini adalah palsu?
"Ini adalah satu kes untuk menentukan ketulenan. Jadi, kedua-dua pihak iaitu FIFA dan FAM perlu membuktikan bahawa sijil kelahiran yang dipegang masing-masing tidak palsu," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui peluang untuk memenangi kes tersebut masih terbuka dan bersifat 50-50 dan CAS perlu memilih salah satu sijil kelahiran yang sah untuk mencapai keputusan muktamad.
"CAS perlu putuskan mana satu yang mereka percaya. Belum pernah berlaku dalam sejarah, CAS mengesahkan kedua-dua sijil kelahiran dari dua negara berbeza.
"Jika senario ini berlaku, saya pasti FIFA akan mengubah statut dan peraturan mereka pada masa hadapan bagi menutup kelompongan ini," ujarnya.