'Dakwaan PM, ini jawapan Pas...'

Iklan
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
KUALA LUMPUR - Pas menafikan parti itu cuba 'memancing' ahli Parlimen PH Melayu pada malam keputusan PRU14, seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas pada malam itu hanya fokus kepada keputusan PRU14.

"Sebenarnya pada hari keputusan kita tiada makluman tentang muafakat Pas-Umno dan kita terima keputusan rakyat dengan lapang dada dan kita pada itu hanya fokus bagaimana keputusan.

"Sebagai Timbalan Presiden saya boleh mengesahkan tiada muafakat pada waktu itu sebagaimana yang didakwa Tun M, kita hanya fokus kepada kawasan yang kita menangi kita raikan kemenangan di Kelantan , Terengganu di Kedah dan sebagaimana," katanya kepada pemberita di lobi, di sini, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Ini puncanya kelewatan PH diumum menang PRU14 lalu ]

Sinar Harian dalam laporannya semalam, menyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan ada pemimpin Melayu-Islam daripada PH dipujuk untuk membentuk kerajaan bersama Umno-Pas selepas berakhirnya pengundian PRU14 lalu.

Dalam wawancara bersama Mekong Review di Kemboja, Dr Mahathir berkata, Umno-Pas mahukan kelebihan kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan sambil memainkan sentimen mengatakan PH tidak akan mampu mempertahankan kedudukan Islam seperti BN

Jadi itu adalah idea jika semua Melayu Islam (Umno-Pas) bersatu, barisan pembangkang baharu dipenuhi dengan orang Islam dalam Umno-Pas, mereka boleh mengheret orang Islam lain dalam PH, mencapai majoriti Melayu-Islam untuk menubuhkan kerajaan.

Bagaimanapun kata Dr Mahathir mereka dinasihati agar tidak berbuat demikian.

Beliau berkata, disebabkan itulah, berlaku kelewatan pengisytiharan kemenangan PH.

Katanya lagi, peralihan kuasa yang berlaku pada PRU14 itu ‘tidak selancar’ seperti dilihat dari luar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai Timbalan Presiden Pas pastinya semua maklumat berhubung parti akan diketahui olehnya.

"Biasalah keputusan lambat itu pada setiap PRU, kadang lambat sambut 2-3 pagi, itu normallah tambah lagi kerajaan hendak bertukar," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tun M kata Harapan sudah menang ]