PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menzahirkan komitmennya untuk mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) lebih awal bermula tahun depan susulan rungutan ibu bapa berhubung pemberian bantuan tersebut yang hanya diterima pada minggu pertama sesi persekolahan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengakui terdapat rugutan yang diterima oleh pihaknya berhubung perkara itu.
“Kebetulan tahun ini baru memulakan sesi persekolahan pada Januari, jadi memang ada sedikit rungutan yang kita terima.
"Saya ingat mulai tahun hadapan akan terus perbaiki dan saranan itu kita ambil secara serius.
"Maknanya diberikan lebih awal supaya persiapan boleh dilakukan lebih awal,” katanya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun 2026 di sini pada Jumaat.
BAP merupakan bantuan tunai secara sekali bayar berjumlah RM150 diberikan kepada 5.2 juta murid bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan.
Bagi tahun ini, penyaluran bantuan akan kembali dibuat secara serahan tunai di sekolah melalui program pertemuan antara guru dengan ibu bapa.
Pendekatan ini bukan sahaja memastikan penyampaian yang lebih berkesan, malah bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara guru, murid dan ibu bapa.
Dalam pada itu, Fadhlina berharap ibu bapa dan penjaga meluangkan masa untuk ke sekolah mengambil BAP sambil berjumpa guru bagi mendapatkan laporan serta saranan berkaitan perkembangan akademik dan sahsiah anak.
“Saya harap ibu bapa ambil saranan RM150 ini untuk keperluan sekolah dan datang ke sekolah ambil bantuan serta berjumpa dengan guru untuk mendengar laporan dan juga saranan mengenai anak-anak kita,” jelas beliau.
Sebelum ini, sebahagian ibu bapa menyuarakan kebimbangan apabila bantuan berkenaan hanya diterima selepas sesi persekolahan bermula sedangkan kos awal seperti pakaian seragam, kasut, buku dan peralatan sekolah perlu disediakan lebih awal.
Sementara itu mengulas mengenai jangkaan peningkatan tambang bas sekolah, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
"Saya akan bawa dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri mengenai perkara ini dan keperihatinan itu untuk kita melihat secara keseluruhannya," katanya.
Terdahulu, Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia menjangkakan berlakunya kenaikan tambang bas sekolah susulan peningkatan kos operasi seperti insurans, gaji pemandu dan alat ganti kenderaan.
Presidennya Amali Munif Rahmat berkata, sebarang kenaikan bergantung sepenuhnya kepada keputusan pengusaha bas sekolah kerana pada 2015 kerajaan memutuskan untuk tidak kawal selia atau tetap had siling tambang.