SHAH ALAM – Sebuah video memaparkan sekumpulan penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) yang bekerjasama menjayakan majlis perkahwinan rakan sekelas mereka sehingga diumpamakan sebagai ‘assignment kahwin’ mencuri perhatian pengguna media sosial, baru-baru ini.
Difahamkan, individu yang terlibat merupakan penuntut IPG daripada pengkhususan Pendidikan Islam yang telah berada dalam kelas sama sejak tahun 2021.
Menurut pemilik video berkenaan, Nur Aqilah Auni Ramli, 24, konsep pengajian di IPG menyerupai sistem persekolahan apabila penuntut ditempatkan dalam satu kelas tetap sepanjang tempoh pengajian, sekali gus membentuk hubungan yang rapat antara mereka.
“Dalam kelas kami ada 21 orang. Untuk majlis yang tular itu, seramai lapan penuntut perempuan dan empat penuntut lelaki hadir membantu.
"Seorang lagi rakan kami turut melangsungkan perkahwinan pada tarikh sama, jadi sebahagian rakan menghadiri majlis berbeza,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Majlis persandingan rakan mereka, Nurul Shahirah Ahmad, 24, bersama pasangannya yang juga rakan sekelas, Muhammad Fareez Firdaus Zamri, 25, pada 3 Januari lalu, berlangsung di Kedah dan tular menerusi sebuah video, manakala sebahagian rakan turut menghadiri satu lagi majlis di Dewan Pantai Leman, Kuala Kedah.
Nur Aqilah Auni menjelaskan, istilah ‘assignment kahwin’ yang digunakan warga maya hanyalah gurauan, merujuk kepada pembahagian tugas yang dibuat secara terancang bagi membantu melancarkan majlis perkahwinan rakan mereka.
“Sebenarnya ia bukan assignment seperti dalam akademik. Kami hanya membantu rakan sekelas. Cuma pengguna media sosial mengusik dan mengaitkannya dengan konsep tugasan kerana cara kerja kami yang tersusun.
"Perancangan dibuat lebih awal apabila pasangan pengantin sendiri mengagihkan tugasan mengikut kemahiran masing-masing, termasuk peranan sebagai pengacara majlis, pengendali sistem bunyi dan pengurusan atur cara.
“Kami memang biasa pegang peranan tersebut sejak di IPG, jadi pengantin beri kepercayaan penuh kepada kami. Tiada pembantu luar, semuanya diuruskan oleh rakan sekelas sendiri,” ujarnya.
Kesemua mereka merupakan penuntut tahun akhir di IPG Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
Mengulas reaksi selepas video tersebut tular Nur Aqilah Auni berkata, banyak doa dan kata-kata positif diterima daripada orang ramai terhadap pasangan pengantin.
Malah katanya, tularnya video itu turut membuka peluang rezeki baharu buat dirinya yang sememangnya mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan acara.
“Sejak video ini tular, ramai yang menghubungi saya untuk menjadi pengacara majlis,” katanya.
Video berkenaan mendapat lebih satu juta tontonan dengan 145, 700 tanda suka turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial selain ramai menyifatkan semangat kerjasama dan persahabatan yang ditonjolkan sebagai sesuatu yang positif serta wajar dicontohi.