Harap ada undang-undang banteras basikal lajak

Iklan
Azisman pada sidang media berhubung basikal lajak di Bukit Aman hari ini.

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berharap kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan menyediakan draf undang-undang tindakan terhadap pihak terlibat secara langsung mengubahsuai basikal lajak.

Pengarahnya, Datuk Azisman Alias berkata, setakat ini tiada undang-undang khusus terhadap pengusaha bengkel atau kedai yang menjual dan mengubahsuai menjadi basikal lajak.

Iklan
Iklan

"Basikal lajak ini adalah basikal biasa tetapi diubahsuai bagi meningkatkan kelajuan dan pecutan ketika menuruni bukit dengan pelbagai aksi.

"Pengubahsuaian itu antaranya dengan cara mematikan sistem brek, merendahkan front fork dan mengubahsuai handle bar untuk penunggang berada dalam posisi Superman bagi daya aerodinamik.

Iklan

"Aksi itu sama bahayanya dengan aksi mat rempit atau samseng jalanan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, perkara tersebut boleh dilaksanakan pihak Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana JSPT hanya melaksanakan penguatkuasaan.

Iklan

Azisman berkata, kuasa JSPT dan undang-undang sedia ada sangat terhad untuk diambil terhadap penunggang basikal lajak yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.

"Antara kesalahan yang boleh diambil ialah saman di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/1959), kuasa menahan basikal di bawah Seksyen 112 (3) APJ 1987.

"Selain itu, tindakan undang-undang ke atas ibu bapa atau penjaga di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Seksyen 33 akta ini menyatakan menjadi satu kesalahan untuk ibu bapa atau penjaga membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang berpatutan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

"Mereka yang terlibat dengan aktiviti basikal lajak ini ialah seawal usia lapan tahun. Tiada undang-undang yang boleh dikenakan kepada kanak-kanak di bawah usia 10 tahun. Kita hanya memanggil ibu bapa dan beri nasihat serta menyita basikal," katanya.

Jelasnya, sebanyak 93 operasi dijalankan di seluruh negara tahun lalu melibatkan 105 basikal lajak disita.

"Bagi tahun ini, sebanyak 13 operasi dengan 116 basikal disita. Kita akan ambil tindakan berterusan dan mengenalpasti lokasi popular bagi aktiviti basikal lajak ini," katanya.

Katanya, operasi membanteras aktiviti basikal lajak ini akan ditingkatkan bermula bulan ini kerana bermula cuti persekolahan.

"Anggota kita ada yang dibekukan cuti untuk melaksanakan operasi menangani aktiviti basikal lajak dan samseng jalanan," katanya.