Polis cekup 146 warga asing

Iklan
Antara Pati yang ditahan. - Foto ihsan Facebook IPDJBU
JOHOR BAHRU – Seramai 146 warganegara asing telah ditangkap kerana tidak memiliki dokumen menerusi Ops Bersepadu Wilayah Iskandar di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) dan IPD Kulai, Isnin lepas.

Operasi yang bermula 8 malam diketuai oleh Pemangku Ketua Polis Daerah JBU, Supritendan Faris Ammar Abdullah dan Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow serta dibantu oleh pegawai dan anggota dari kedua-dua daerah serta agensi lain.

Menurut Faris Ammar, seorang lelaki warganegara Indonesia juga ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selepas positif dadah jenis MOP.

"Semasa operasi ini, seramai 454 warga asing termasuk 48 wanita telah diperiksa dan 146 individu telah diberkas.

"Hasil serbuan itu, pihak polis telah merampas 14 buah motosikal pelbagai jenis serta mempunyai kesalahan dan dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.

"Operasi ini dijalankan berdasarkan maklumat serta risikan dan serbuan dilakukan di rumah kongsi melibatkan kawasan Impian Emas, Permatang 1, Setia Tropika, Eco World Senai dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua pendatang asing tanpa izin (Pati) itu dibawa ke IPDJBU untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.