Rugi RM3,500 terbeli motosikal tidak wujud

Iklan
Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN - Hasrat seorang lelaki untuk memiliki motosikal lebur apabila terbeli motosikal tidak wujud yang diiklankan di laman sesawang iklan.

Lebih malang, mangsa berusia 32 dari Maran itu turut kerugian RM3,500 apabila wang pendahuluan pembelian motosikal jenis Yamaha RXZ itu lesap.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang bertugas sebagai pembantu tadbir tertarik dengan iklan itu selepas melayari laman sesawang berkenaan 31 Disember lalu.

Menurutnya, mangsa berminat untuk membeli motosikal tersebut yang ditawarkan pada harga RM10,000 lalu menghubungi penjualnya melalui nombor telefon yang tertera.

Iklan

"Mangsa berurusan dengan seorang lelaki (suspek) dan diminta membuat bayaran tempahan RM4,000 jika berminat untuk membeli motosikal tersebut.

"Suspek memberitahu ada pembeli lain turut berminat dengan motosikal tersebut dan meminta mangsa membuat bayaran tempahan dengan segera bagi mengelak motosikal tersebut terlepas kepada orang lain,” katanya.

Iklan

Mohd Wazir berkata, pada Selasa lalu, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM3,500 melalui sebuah akaun bank atas nama suspek dan dia diminta datang ke kedai di Taman Perindustrian Puchong Utama, Selangor untuk menjelaskan bayaran dan mengambil motosikal tersebut.

"Selepas membuat bayaran, mangsa menyemak laman sesawang itu dan mendapati iklan tersebut sudah dipadamkan.

"Mangsa percaya motosikal itu sudah ‘dijual’ dan dia adalah pembelinya,” katanya.

Menurutnya, mangsa mula curiga apabila gagal menghubungi suspek pada hari berikutnya untuk pengesahan apabila panggilannya disekat.

"Mangsa menghubungi nombor telefon kedai yang turut tertera pada iklan tersebut sebelum diberitahu suspek tidak bekerja di situ dan tiada motosikal seperti diiklankan.

"Mangsa sedar ditipu apabila menyedari motosikal itu diiklan semula ke mudah.my dengan nombor telefon sama,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis semalam dan pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.