Batal ijazah Yan Kee tindakan keterlaluan, kata Mohamad

Iklan
Datuk Seri Mohamad Hasan
SHAH ALAM - Sebarang tindakan untuk membatalkan ijazah graduan, Wong Yan Ke, 23, yang melakukan protes sewaktu Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) kali ke-59 baru-baru ini dianggap sebagai keterlaluan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihak Senat UM perlu meneliti perkara tersebut dengan sebaiknya memandangkan graduan terbabit telah menamatkan pengajiannya sebelum ini.

Bagaimanapun, menurutnya, pihak terbabit seharusnya menyesal dengan perbuatannya itu berikutan ia dilakukan di tempat yang kurang sesuai.

"Untuk membatalkannya (ijazah) satu perkara yang perlu diteliti tetapi jika penangguhan kepada penganugerahan tersebut dibuat, saya rasa itu sesuatu yang boleh dilakukan.

"Semua orang buat silap. Kita boleh memaafkan jika dia meminta maaf kepada Canselor (Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) dan juga pihak universiti," katanya selepas Konvensyen UMNO Selangor di Ibu Pejabat UMNO Selangor hari ini.

Sebelum ini, Yan Ke melakukan protes tertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ di hadapan tetamu dan pentadbir tertinggi UM semasa sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59

Sementara itu, UM dalam kenyataannya hari ini menegas pihaknya tidak menarik balik ijazah atau menahan skrol dan transkrip graduan Fakulti Kejuruteraan Awam berkenaan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata, pengedaran skrol dan transkrip akademik secara berpusat dilakukan mulai 12 hingga 20 Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: UM tidak tahan transkrip atau tarik balik ijazah Yan Ke