Dewan Rakyat lulus usul Laporan Ketua Audit Negara 1/2026

Iklan
Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024 yang mendedahkan 273 isu baharu. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024 yang mendedahkan 273 isu baharu melibatkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat persekutuan dan negeri.

Usul dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 35 Ahli Parlimen.

Iklan
Iklan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menggulung perbahasan usul itu bagi Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan mengesahkan Projek Pembangunan Lot 61 Bangsar yang lewat hingga 1,731 hari dan menyaksikan peningkatan kos ketara, kini menerima kelulusan bersyarat bagi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) separa untuk pengoperasian tempat letak kereta.

Beliau berkata, kelulusan bersyarat bagi projek Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) itu diterima semalam dan masih menunggu pengesahan serta kelulusan rasmi daripada pihak One Stop Centre (OSC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Iklan

"Peningkatan kos pembinaan berlaku kerana skop projek berkembang berbanding kelulusan asal, termasuk penambahan komponen tempat letak kereta, sebahagian Menara 3 serta kerja infrastruktur seperti jalan bawah (underpass).

"Selain itu, pelaksanaan projek dalam tempoh pasaran pembinaan yang tidak stabil menyebabkan peningkatan kos bahan binaan dan penyelesaian teknikal tambahan di tapak (projek)," katanya pada sesi itu.

Iklan

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata, kos umum turut meningkat selaras dengan pelanjutan tempoh projek termasuk caj kewangan yang terakru sepanjang tempoh pembinaan belum disiapkan.

Mengulas mengenai langkah penyelesaian, beliau berkata, PHB telah berbincang dengan DBKL untuk menangguhkan pembinaan underpass dan melaksanakan pelebaran jalan masuk dari Jalan Bangsar ke Jalan Maarof sebagai langkah penyuraian trafik sementara bagi menambah baik aliran lalu lintas di sekitar tapak projek sementara menunggu kelulusan penuh CCC.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu pula berkata, Perbadanan PR1MA Malaysia telah melaksanakan pemantauan kewangan secara berkala bagi memastikan kelangsungan pembayaran balik pinjaman yang dijamin oleh kerajaan.

Beliau berkata, langkah itu termasuk penilaian aliran tunai, unjuran hasil jualan dan analisis keupayaan pembayaran balik hutang sebagai sebahagian daripada pelan mitigasi risiko untuk mengurangkan kemungkinan kegagalan pembayaran.

"Selain itu, PR1MA sedang meneliti struktur pembayaran balik prinsipal secara berperingkat bagi memastikan kesesuaian dengan aliran tunai semasa dan mengurangkan tekanan kewangan," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan bagi kementerian itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu berkata, tiada sebarang ketirisan melibatkan penggunaan peruntukan pembangunan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12.

Beliau berkata, hal ini kerana peruntukan pembangunan itu digunakan untuk perbelanjaan operasi projek yang bersifat kritikal dan khusus selain mempunyai hubungan langsung serta jelas dengan pelaksanaan komponen penyelidikan dan pembangunan serta pemindahan teknologi yang telah diluluskan.

"Sebagai contoh, transaksi perbelanjaan seperti tuntutan perjalanan pegawai penyelidik untuk sesuatu projek bagi pengambilan data kajian, pemantauan di lapangan serta aktiviti penyelidikan dan pemindahan teknologi berkaitan," katanya.

Beliau berkata, perbelanjaan menggunakan peruntukan pembangunan oleh MARDI adalah untuk menyokong pelaksanaan aktiviti projek penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan serta inovasi dan bukan kos operasi perbelanjaan mengurus atau pentadbiran am institut itu.

Ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, tidak berlaku sebarang ketirisan dalam tadbir urus atau perolehan projek MyDigital ID.

Beliau berkata, teguran audit mengenai perbelanjaan sebanyak RM28.13 juta yang tidak mendapat kelulusan jawatankuasa ditetapkan berlaku berikutan kekeliruan akibat perubahan dalam struktur jawatankuasa yang telah menyebabkan ketidakselarasan semasa proses membuat keputusan dalam pelaksanaan projek.

Chang berkata, projek MyDigital ID merekodkan sebanyak 9.7 juta pendaftaran setakat ini dan diintegrasi dengan 92 aplikasi kerajaan serta swasta merentasi pelbagai sektor termasuk telekomunikasi, kewangan dan kesihatan.

Mengenai isu sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata, projek itu masih dalam pelaksanaan justeru, Jabatan Audit Negara (JAN) boleh pada bila-bila masa melaksanakan pengauditan secara keseluruhan bagi menilai impaknya.

Beliau juga berkata, laporan pengauditan terhadap penyata kewangan Lembaga Kelayakan Profesional Undang-Undang (LPKB) dijadual dibentangkan dalam LKAN 1/2027.

"Penyata kewangan LPKB bagi tahun 2008 hingga 2012 dan 2013 hingga 2016 telah dikemukakan kepada JAN, masing-masing pada 16 Jan 2026 dan 24 Feb 2026, dan JAN sedang melaksanakan pengauditan terhadap penyata kewangan tersebut," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama