BEKAS pertahanan Paris Saint Germain (PSG), Dani Alves mendedahkan igauan buruk yang dialaminya dalam tempoh dua tahun menyarung jersi pasukan itu.
Kata Alves, selama tempoh tersebut, dia tidak dapat bersabar dengan kerenah penduduk di Perancis yang suka memainkan sentimen perkauman dan ia menjadi antara sebab utama untuk meninggalkan PSG
Menurutnya, penduduk di Perancis sering memandang serong pada orang yang bukan warganegara khususnya kepada mereka yang berkulit hitam.
"Perancis merupakan sebuah kota yang penuh dengan tekanan.Saya tidak suka dengan keadaan di sana.Jika anda cuma melancong untuk tempoh seminggu ia tidak menjadi masalah.
"Lebih daripada tempoh itu, ia akan membuatkan anda jadi tak selesa dengan kerenah penduduk di sana," katanya.
Alves menyertai PSG pada 2017 dan meninggalkan kelab itu tahun ini selepas tampil dalam 73 perlawanan untuk kelab gergasi Perancis itu.
Dia juga membawa PSG meraih dua gelaran Ligue 1 selain menjaringkan lapan gol yang juga menambah koleksi gelaran peribadinya.
Jelas Alves, PSG turut menawarkan kontrak baharu kepadanya namun, dia tidak mahu lagi berada di kelab itu dan memutuskan untuk beraksi bersama Sao Paulo.
"Walaupun saya dikelilingi rakan yang berasal dari Brazil, tapi ejekan perkauman daripada penyokong tetap memberikan kesan kepada saya.
"Saya juga nampak sendiri apa yang dilakukan oleh orang Perancis dengan mereka mengejek rakan-rakan saya yang lain dalam pasukan. Bagi saya, ia sangat teruk dan tidak boleh diterima," katanya.