Dadah: Penganggur ke tali gantung

Iklan
Tertuduh (tengah) dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah dua tahun lalu.

KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Ahmad Faisal Embong, 31, yang berasal dari Kampung Che Lijah, Dungun selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Iklan
Iklan

Tertuduh yang pada awalnya tenang mula kelihatan gelisah dan beberapa kali menoleh ke arah keluarganya dari kandang pesalah sebaik mendengar keputusan itu dibacakan oleh hakim mahkamah berkenaan.

Menurut hakim keputusan itu diambil kerana jenayah dilakukan berkaitan kepentingan awam selain mengambil kira rekod lampau tertuduh.

Iklan

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ahmad Faisal didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 16.51 gram di tepi jalan di Kampung Balik Bukit Seberang Pintasan Dungun kira-kira jam 1.30 petang pada 15 Ogos 2017.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang 15 kali sebatan.

Iklan

Dia turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 4.55 gram dan nimetazepam seberat 0.57 gram.

Bagi dua pertuduhan itu, Ahmaf Faisal dijatuhi hukuman empat tahun penjara bermula dari tarikh tangkapan.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama di bawah Seksyen 12 (3) akta sama.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Farhan dari Tetuan Hanif & Co.