Lelaki ditembak mati miliki pelbagai rekod jenayah

Iklan
Noor Azam menunjukkan kesan tembakan selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang berkenaan kejadian anggota polis menembak mati seorang lelaki yang disyaki melakukan aktiviti penyeludupan manusia malam semalam. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Lelaki yang ditembak mati oleh polis ketika cuba menyeludup lapan rakyat Myanmar ke ibu negara semalam mempunyai pelbagai rekod jenayah antaranya melibatkan kes dadah, pemerasan, curi kenderaan dan ragut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, ketika kejadian di Jalan Pusat Bandar 9, Puchong itu, lelaki terbabit dalam perjalanan menyeludup lapan rakyat Myanmar ke ibu negara menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang telah diubah suai.

Iklan
Iklan

"Mohd Zafarul Nizam Hamzah, 37, membawa enam lelaki dan dua wanita menggunakan kereta jenis Perodua Alza dari Kelantan.

"Polis mengekori kereta dipandu suspek itu dari Kelantan sebelum lelaki terbabit merempuh anggota polis yang menahan kereta itu pada kira-kira 7 malam.

Iklan

"Polis kemudiannya melepaskan tembakan menyebabkan suspek maut di lokasi kejadian manakala seorang lelaki warga Myanmar cedera,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini hari ini.

Noor Azam berkata, polis turut menahan lapan rakyat Myanmar berusia antara 20 dan 30 tahun yang berada dalam kenderaan itu.

Iklan

"Seorang lagi lelaki Myanmar ditahan di sekitar lokasi kejadian kerana dipercayai menjadi pengantara dalam sindiket ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati lelaki yang ditembak mempunyai rekod jenayah antaranya dadah, pemerasan, curi kenderaan dan ragut.

"Selain itu, semakan mendapati kereta digunakan suspek merupakan kereta sewa milik seorang wanita dari Gombak.

"Polis akan ambil keterangan wanita berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.

Noor Azmi berkata, kesemua sembilan rakyat Myanmar itu dibawa ke IPD Serdang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Polis akan menyiasat untuk tujuan apa kesemua warga Myanmar ini dibawa masuk,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan polis menembak mati seorang lelaki warga tempatan yang disyaki anggota sindiket pemerdagangan manusia warga asing. - Bernama