Jerebu: Tangkapan nelayan terjejas

Iklan
Seorang lelaki kelihatan memancing di Sungai Kuantan dalam suasana jerebu pada tinjauan semalam. Foto: BERNAMA

GEORGETOWN - Fenomena jerebu yang melanda negara kini turut memberikan impak terhadap nelayan terutama dalam soal hasil tangkapan dan pendapatan mereka.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Zin berkata, keadaan fenomena itu menghadkan jarak pandangan nelayan untuk ke laut.

Iklan
Iklan

"Sejak lebih seminggu lalu, nelayan ke laut untuk mencari rezeki namun mereka terhad di kawasan berhampiran sahaja. Maksimum mereka hanya mampu pergi sejauh satu batu nautika sahaja kerana selepas itu jarak penglihatan semakin kabur.

"Untuk mengelakkan sebarang kemalangan, nelayan terpaksa mengambil langkah selamat dengan hanya menangkap ikan di kawasan terdekat sahaja. Sampan dan bot nelayan tidak mempunyai peralatan seperti bot pukat,” katanya kepada pemberita di Bayan Lepas dekat sini hari ini.

Iklan

Tze Zin juga menyeru supaya Kerajaan Indonesia agar mempertimbangkan tawaran Kerajaan Malaysia yang bersedia membantu memadamkan api kebakaran di Sumatera dan Kalimantan.

Terdahulu, Tze Zin menyampaikan Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan (SBBAKN) kepada 46 nelayan di Teluk Bahang dan Pulau Pinang Selatan yang terjejas akibat Taufan Lekima 9 Ogos lalu.

Iklan

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan khairat kematian kepada dua keluarga nelayan serta bantuan Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di daerah Timur Laut dan Barat Daya yang bernilai RM13,000.

Katanya, pihaknya kini dalam proses untuk mengumpul data dalam usaha menyalurkan bantuan kepada para pesawah yang terkesan akibat Taufan Lekima. - Bernama