Adam, kau pergi jua...

Iklan
Laporan pada 21 Mei lalu memaparkan penderitaan Adam akibat kanser mata tahap empat sejak setahun lalu.

BUKIT SENTOSA - Muhammad Adam Shahputra Zaidi, 8, yang menderita kanser mata tahap empat sejak setahun lalu meninggal dunia jam 12.20 malam tadi.

Anak kelima daripada enam beradik itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Flat Cempaka dekat sini di sisi keluarga.

Iklan
Iklan

Bapanya, Zaidi Shabudin, 45, berkata, Adam mengalami sakit kepala serius sehingga sawan pada Ahad lalu sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital KPJ Damansara.

Menurutnya, keesokan hari, Adam dipantau di wad biasa namun tahap kesihatan semakin merosot dan dirinya lemah serta hanya mampu terbaring di katil.

Iklan

"Pada malam Khamis, Adam jalani pemeriksaan imbasan dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pagi Jumaat. Tapi keadaan tidak berubah dan doktor sudah menjelaskan situasi Adam apabila sel kanser merebak ke bahagian otak dan saraf.

"Saya bersetuju untuk membawa pulang ke rumah pada tengah hari Sabtu kerana masa di KPJ lagi Adam beritahu nak balik rumah,” katanya.

Iklan

Zaidi berkata, Adam terpaksa bergantung kepada mesin pernafasan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada sebelah malamnya.

"Hasrat Adam untuk pulang ke rumah tercapai tapi tak sampai sehari, Adam ‘balik’ buat selama-lamanya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sumbangan sewaktu Adam mendapatkan rawatan dan Uncle Kuan yang menyediakan ambulans percuma menghantar Adam balik rumah,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung jam 11 pagi tadi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Adam yang sering mengadu sakit kepala sejak berusia 6 tahun dan sering terlanggar sesuatu ketika berjalan adalah disebabkan kanser mata.

Mata kiri yang semakin membengkak menyebabkannya hanya mampu melihat rakan seusia riang bermain di taman dari jauh melalui tingkap rumah.

Ibunya, Rohayu Sulaiman, 39, berkata, Adam tidak dibenarkan keluar rumah untuk bermain bersama rakan lain bagi mengelak jangkitan kuman atau risiko bahaya sekiranya bahagian yang membengkak itu terkena objek tajam.