Pengusaha Taska suka, ibu bapa terbeban

Iklan
Nurlaili, Nurul Munirah, Sabariah, Azniah

PUTRAJAYA - Kenaikan yuran Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) antara 10 hingga 30 peratus memang tidak dapat dielakkan berikutan kos penyelenggaraan dan penetapan gaji minimum yang diumumkan bermula tahun hadapan.

Pengerusi Pengusaha Taska Daerah Sepang, Sabariah Abu berkata, situasi itu tidak boleh dielakkan susulan pengusaha taska berdaftar perlu mematuhi gaji minimum RM1,050, yang ditetapkan selain berdepan pelbagai kenaikan kos hidup.

Iklan
Iklan

Menurut Sabariah, peningkatan kos operasi seperti bil utiliti, sewa bangunan, barang makanan dan keperluan harian amat membebankan hingga menjejaskan keuntungan.

"Penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1050 perlu dipatuhi majikan, selain majikan perlu mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) ke atas pekerja taska.

Iklan

Selain itu guru-guru taska perlu diberikan latihan dan kursus tertentu yang mana semua kos itu ditanggung pengusaha tanpa sebarang subsidi daripada kerajaan,"katanya.

Menurutnya sebagai pengusaha, kenaikan yuran taska amat dialu-alukan dan amat perlu bagi memastikan anak-anak asuhan lebih selesa sepanjang berada di taska.

Iklan

"Kita sangat memahami kenaikan yuran taska membebankan ibu bapa namun pengusaha taska juga tersepit dengan kos operasi perlu ditampung,"ujarnya yang lebih 14 tahun mengendalikan tiga buah taska sekitar Sepang dan Nilai.

Jelasnya taska yang diusahakannya mengenakan yuran sebanyak RM450 bagi setiap bayi dan kanak-kanak berusia empat tahun.

Sementara itu bagi Pengerusi Pengusaha Taska Selangor( Kuala Langat), Azniah Mohamad, kenaikan yuran pendaftaran dan bulanan adalah dialu-alukan memandangkan kos sara hidup yang tinggi.

"Namun bagi pengusaha taska, kami berdepan dilema untuk memberitahu ibu bapa berkaitan hal ini.

Ramai ibu bapa merungut apabila yuran taska dinaikkan dan menyatakan mereka tidak mampu dan akhirnya keluar ke taska di rumah yang tidak berdaftar dan semakin banyak seperti cendawan tumbuh hari ini,"ujarnya

Tegasnya, ibu bapa perlu bijak memilih taska berdaftar untuk asuhan anak-anak mereka bukan sahaja mengambil kira kos yang perlu dibayar.

Kebanyakan taska di rumah tidak mempunyai pengasuh yang mencukupi dan terlatih, selain anak-anak asuhan tidak diberikan aktiviti berfaedah serta makanan berkhasiat.

Kesemua faktor tersebut perlu diambil kira lebih-lebih lagi kebanyakan kes-kes kecuaian yang dilaporkan berlaku membabitkan taska-taska di rumah yang tidak berdaftar,"katanya

Bagaimanapun menurutnya, pengusaha taska mempunyai budi bicara dengan memberikan diskaun bagi ibu bapa yang menghantar dua atau tiga anak ke taska disamping bantuan yang diberikan kerajaan Negeri Selangor melalui Skim Bantuan Asuhan Rakyat bagi ibu bapa yang menghantar anak ke taska berdaftar.

Sementara itu bagi Norlaili Jizad, 33, kenaikan yuran taska pastinya membebankan ibu bapa lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan menghantar lebih daripada seorang anak ke taska.

"Kos untuk yuran bulanan bagi tiga orang anak sebelum ini menjangkau RM1000 lebih-lebih lagi tinggal di kawasan bandar dengan pelbagai kos hidup yang tinggi,"ujarnya.

Diharapkan kerajaan dapat mencari mekanisme sesuai bagi mengatasi beban kos sara hidup yang dihadapi.

"Bagi menangani isu ini saya menyarankan kerajaan memberikan rebet kepada ibu bapa yang menghantar anak ke taska berdaftar atau mengurangkan cukai yang perlu dibayar ibu bapa seperti kami," katanya.

Bagi pekerja swasta, Nurul Munirah Hussin, 33, semua ibu bapa berasa terbeban dengan kenaikan yuran taska.

" Yuran yang mahal pastinya membebankan. Namun ibu bapa perlu memilih taska yang terbaik untuk anak-anak mereka. Tidak mengapalah mahal sedikit asalkan anak-anak dijaga dengan baik dan terjamin keselamatan mereka,"ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya pengusaha taska perlu lebih bertanggungjawab terhadap anak asuhan selepas ibu bapa membayar yuran yang tinggi.

Taska wajib memberikan perkhidmatan terbaik umpamanya menyediakan aktiviti pembelajaran yang sesuai, layanan yang baik serta mewujudkan suasana persekitaran yang selesa," katanya.