Pemilik tanah jadi lokasi lupus sampah dikenal pasti

Iklan
Chen Choon

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor sudah mengenalpasti pemilik tanah yang menjadi lokasi pelupusan sampah haram di Jalan Banjaran 15, Kempas di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, pihaknya memohon masa kira-kira seminggu untuk tindakan seterusnya diambil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"JAS tengah melengkapkan kertas siasatan. Kita sudah dapat kenal pasti pemilik-pemilik tanah.

Iklan

"Ada tiga plot tanah di kawasan itu dan kita akan mengambil tindakan undang-undang secepat mungkin," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Sungai Temon di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Banjaran 15, Kempas, di sini.

Iklan

Chen Choon berkata, pemilik tanah terbabit juga telah diarahkan untuk memulihkan keadaan tanah sebagaimana syarat nyata tanah.

"Sebab syarat nyata tanah, saya difahamkan ialah tanah pertanian. Bukan untuk tapak pelupusan sampah.

"Jadi mengikut Seksyen 128 Kanun Tanah Negara, kita mohon pemilik tanah untuk memulihkan keadaan tanah kepada yang sebenarnya," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pemilik tanah gagal berbuat sedemikian, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 129 Kanun Tanah Negara iaitu mengambil semula tanah tersebut dengan cara pelucuthakan.