Cuba kurung pelarian Rohingya?

Iklan
Bantuan makanan atau perkhidmatan kesihatan tidak termasuk dalam sekatan itu.

DHAKA - BANGLADESH. Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) mengarahkan pihak berkuasa supaya tidak membenarkan pelarian Rohingya berada di luar kawasan kem sementara untuk tempoh tiga hari ketika Pilihan Raya Parlimen berlangsung pada 30 Disember ini.

Pihak berkuasa juga akan mengehadkan pergerakan kakitangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi sukarelawan di kem di Cox's Bazar.

Iklan
Iklan

"Sekatan itu akan berkuatkuasa 7 malam (waktu tempatan) pada 29 Disember hingga 8 pagi pada 31 Disember. Pengawasan khusus diperlukan untuk menghentikan sebarang keganasan ke atas pelarian Rohingya atau terhadap mana-mana calon," menurut kandungan surat dihantar EC kepada Bahagian Keselamatan Awam, semalam.

Jelasnya, bantuan makanan atau perkhidmatan kesihatan bagaimanapun tidak termasuk dalam sekatan itu.

Iklan

Salinan surat itu turut dihantar kepada Setiausaha Luar, Setiausaha Pengurusan Bencana dan Bantuan serta pihak berkuasa berkaitan.

Agensi penguatkuasaan undang-undang di Dhaka telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap nasib ratusan ribu pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.

Iklan

Lebih 700,000 pelarian Rohingya kini berlindung di kem sesak di Bangladesh selepas gelombang keganasan baharu tercetus di Rakhine pada tahun lalu.

Baru-baru ini, Myanmar dan Bangladesh mencapai persetujuan untuk memulakan proses penghantaran pulang golongan itu, namun ia ditangguhkan kerana pihak terbabit gagal memberi jaminan tentang keselamatan pelarian Rohingya selepas kembali ke Rakhine.

Difahamkan, Dhaka juga merancang untuk memindahkan sebahagian daripada golongan itu ke Pulau Bhasan Char di Noakhali. - bdnews24.com