NEW DELHI – Seorang lelaki dilapor membunuh kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun selepas bimbang mangsa akan memberitahu ibu bapanya bahawa dia telah diserang secara seksual.
Perkara itu didedahkan dalam kertas pertuduhan lebih 500 muka surat yang difailkan Polis Delhi berhubung kes rogol dan pembunuhan kanak-kanak terbabit di Mehrauli, selatan Delhi pada Jun lalu.
Menurut kertas pertuduhan itu, suspek, Basu Kumar Singh, 25, didakwa pada awalnya tidak merancang untuk membunuh mangsa selepas melakukan serangan seksual.
Dia sebaliknya dikatakan mahu membawa kanak-kanak tersebut pulang sebelum berubah fikiran kerana bimbang perbuatannya akan diketahui ibu bapa mangsa.
Polis berkata, Singh menunggu berhampiran CDR Chowk sebelum terlihat mangsa dan menculiknya.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Mandi dan dirogol sebelum dicekik.
Suspek turut memukul mangsa menggunakan batu sebelum meninggalkan mayatnya di kawasan hutan berhampiran sempadan Delhi-Gurgaon.
Lesen memandu milik Singh dilaporkan ditemukan berhampiran mayat mangsa dan suspek kemudian ditahan.
Pada hari kejadian, bapa mangsa dilaporkan terdengar jeritan meminta pertolongan sebelum cuba mengejar sebuah kenderaan yang membawa anaknya, namun gagal.
Maklumat bapa mangsa bahawa kenderaan itu merupakan kereta berwarna putih dengan nombor pendaftaran komersial berwarna kuning kemudiannya menjadi antara petunjuk penting kepada polis untuk mengesan kenderaan terbabit.
Menurut polis, Singh turut mempunyai sekurang-kurangnya lima kes yang didaftarkan terhadapnya di Khagaria, Bihar antara 2015 hingga 2022, termasuk dakwaan cubaan membunuh, merusuh dan mencabul.
Singh kini berdepan pertuduhan berkaitan rogol, pembunuhan dan penculikan selain kesalahan di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO) serta undang-undang berkaitan.
Kertas pertuduhan berkenaan turut mengandungi keterangan lebih 30 saksi. - Agensi