LANGKAWI - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengagalkan cubaan membawa masuk 12 kotak cenderahati hasilan pertanian diperbuat daripada buluh secara haram di unit kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, di sini, semalam.
Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind berkata, dalam pemeriksaan kira-kira jam 2.40 petang itu, pihak MAQIS dengan kerjasama Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM) memeriksa sebanyak 70 kotak cenderahati yang dibawa masuk.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, sebanyak 12 kotak cenderahati yang didapati memiliki hasilan dari buluh yang pelbagai bentuk tanpa dokumen yang sah seperti Import Permit dari MAQIS dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal.
"Sehubungan itu, 12 kotak cenderahati hasilan buluh tersebut akan dirampas untuk tindakan lanjut dengan anggaran nilai sebanyak RM7,812.00.
"Kegagalan mematuhi peraturan import ini juga boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kuarantin dan Pemeriksaan (Pengkompaunan Kesalahan) 2019 [P.U(A) 120/2019] sehingga RM50,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, perbuatan mengimport sesuatu barangan tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan dibawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
"Yang mana, boleh dihukum dibawah seksyen 11(3), akta yang sama iaitu jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua- duanya sekali," katanya.
Menurutnya, MAQIS akan sentiasa memastikan barangan atau produk yang dibawa masuk dan keluar dari Malaysia adalah mematuhi syarat import atau eksport yang telah ditetapkan kerajaan Malaysia.