Ekstradisi Zakir Naik: Jangan tunduk desakan India

Iklan
Zakir Naik

KUALA LUMPUR - Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Prihatin Malaysia menggesa kerajaan meneruskan pendirian dan tidak tunduk kepada desakan India untuk mengektradisi pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik ke negara itu bagi menghadapi perbicaraan mahkamah berhubung dakwaan pengubahan wang haram.

Wakil gabungan tersebut, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyokong pendirian kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad.

Iklan
Iklan

"Kami bukan mempersoalkan sistem perundangan India tetapi apa yang kami persoalkan adalah sistem perbicaraan yang didakwa akan dijalankan ke atas Zakir sebagai tidak adil berdasarkan kepada sikap negara itu dan media arus perdana di sana menanamkan prejudis terhadap beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Keadilan dalam kes ekstradisi Dr Zakir Naik

Iklan

"Dengan niat itu, ekstradisi yang dituntut oleh kerajaan India hanyalah untuk menahan beliau bertahun-tahun dan kemudian baharu akan dibicarakan," katanya pada sidang media Kempen Say No to India Extradition di Dewan Majlis Perundingan Melayu hari ini.

Isnin lalu, Dr Mahathir membandingkan status Zakir dengan permohonan Malaysia terhadap Australia berkenaan ekstradisi Sirul Azhar Umar yang disabitkan atas kesalahan bunuh.

Iklan

Jelasnya, sebelum menerima permohonan ekstradisi daripada pemerintah India, kerajaan Malaysia perlu mengetahui apa yang berlaku kepada individu berkenaan.

Namun begitu, kelmarin media melaporkan Kementerian Luar India menegaskan akan meneruskan usaha mengekstradisi Zakir.

Menurutnya, negara itu mempunyai urusan ekstradisi dengan banyak negara pada masa lalu yang berjaya dan keadilan sistem kehakiman India tidak pernah dipersoalkan.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, kerajaan India cuba mendakwa Zakir dengan tuduhan untuk mengaitkan beliau dengan pelanggaran undang-undang negara itu dan mengalihkan dakwaan menghasut keganasan kepada pengubahan wang haram.

"Kami menganggap tuduhan ini sebagai naratif untuk menghubungkan Zakir dengan aktiviti pengganas yang sememangnya ditolak tegas oleh pendakwah antarabangsa itu. Dalam hal ini, pihak berkuasa India sendiri telah gagal menghasilkan bukti untuk menghukumnya.

"Prejudis terhadap Zakir dan orang Islam telah menjadi motif dasar bagi mendakwa beliau dengan niat untuk membendung pengaruh besarnya di India serta dunia Islam. Pihak berkuasa India terlibat dalam agenda Islamophobia dan menjadikan Zakir sebagai tokoh sasaran utama bagi menanam kebencian," katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga kesal dengan tindakan India yang sanggup berusaha sebanyak dua kali bagi menyenaraikan Zakir dalam senarai merah Interpol.

"Jelas dua percubaan itu gagal dan memalukan kerana tidak mempunyai bukti kukuh. Maka mengapa kerajaan India bersungguh-sungguh meneruskan usaha menahan beliau?

"Tuduhan bahawa Zakir adalah pembawa ideologi kontroversi menggambarkan kejahilan kerajaan itu. Tidak ada bukti bahawa beliau menyebarkan ekstremis dan radikal dalam ucapannya," katanya.

Mohd Azmi berkata, beberapa pendekatan sedang dijalankan melalui kempen yang telah digerakkan gabungan NGO itu seperti petisyen dalam talian supaya kerajaan Malaysia tidak tunduk kepada desakan India, penjelasan berkaitan isu Zakir di masjid, menyediakan maklumat berkaitan kronologi kes dan bertemu dengan Dr Mahathir sendiri bagi membincangkan isu itu.

"Petisyen dalam talian kita telah mulakan petang semalam dan setakat hari ini kita telah mengumpul hampir 500 tandatangan. Sasaran kita adalah untuk mendapatkan sejuta sokongan rakyat Malaysia," katanya.