Projek diraja bantu balu mangsa konflik di Narathiwat

Iklan
Golongan ibu tunggal melakukan kerja kraftangan tembikar di Perkampungan Ekonomi Sederhana Diraja di Kampung Rotan Batu Buang, Muang, Narathiwat.

NARATHIWAT - Sebuah perkampungan di Kampung Rotan Batu, Muang di sini menjadi tempat ibu tunggal yang kehilangan suami akibat konflik membina kehidupan baharu tanpa mengira agama.

Projek diraja Thailand yang dibangunkan sejak 2004 itu kini menempatkan 447 penghuni termasuk kanak-kanak, terdiri daripada 198 orang Islam dan 249 penganut Buddha.

Iklan
Iklan

Pengerusi Perkampungan Ekonomi Sederhana Diraja, Oichai Sisuwan, 67, berkata, setiap keluarga terpilih menerima rumah dua bilik dan tanah seluas kira-kira 0.6 ekar untuk pertanian.

Menurutnya, pihak istana turut menyediakan peluang pekerjaan bagi membantu penduduk menjana pendapatan.

Iklan

Oichai (kanan) ketika ditemui Sinar Harian.

"Penduduk di sini menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi termasuk ternakan ikan puyu dan haruan, penanaman sayur antaranya cili, terung, rebung dan kubis selain kraftangan seperti pembuatan tembikar.

Iklan

"Selain boleh dibeli oleh rombongan yang hadir, produk tembikar yang dihasilkan turut dihantar ke istana, manakala hasil pertanian dijual kepada peraih," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Produk kraftangan tembikar yang diusahakan ibu tunggal bagi menjana pendapatan.

Oichai berkata, Jabatan Perikanan wilayah turut membekalkan benih ikan bagi membantu kegiatan penternakan penduduk.

Katanya, kegiatan ekonomi itu mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 dalam tempoh 15 hari, bergantung pada hasil pengeluaran.

Sementara itu, seorang penghuni, Saudah Saktetu, 63, berkata, suaminya yang merupakan penghulu kampung di Golok ditembak individu tidak dikenali pada 2004.

"Ketika kejadian saya sedang menoreh getah sebelum diberitahu kejadian oleh penduduk.

Wanita berasal dari Golok itu kini mengukir tembikar dan menanam sayur bagi menyara hidup.

Antara hasil kraftangan ibu tunggal di Perkampungan Ekonomi Sederhana Diraja di Kampung Rotan Batu Buang, Muang, Narathiwat.

Seorang lagi ibu tunggal, Nisah Deromei, 67, turut kehilangan suami yang ditembak ketika menjual ikan di Kampung Lubuk Jok sekitar 2004.

"Waktu itu suami hendak pulang untuk solat Jumaat sebelum dua lelaki bermotosikal datang melepaskan tembakan.

"Sekali lagi saya kehilangan apabila anak sulong perempuan yang bertugas sebagai anggota tentera juga meninggal dunia ketika bertugas," katanya.

Nisah berkata, dia menetap di perkampungan itu sejak kematian suaminya, namun pada peringkat awal masih sukar melupakan tragedi tersebut.

"Kehilangan dua orang tersayang memang sebak. Bila fikiran melayang saya baca al-Quran... ingat ALLAH. Alhamdulillah duduk di sini gembira dan tenang sahaja," katanya.

Beliau berharap keamanan di kawasan itu terus berkekalan.