PUTRAJAYA – McDonald’s Malaysia meneruskan komitmennya dalam menunaikan kewajipan zakat dengan pembayaran sebanyak RM2 juta bagi tahun 2026, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM16 juta sejak 2017.
Sebanyak RM300,000 daripada jumlah zakat RM2 juta bagi tahun 2026 diserahkan kepada Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP) bagi Wilayah Persekutuan pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald’s Wilayah Persekutuan dan Sumbangan Kepada Asnaf di McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya, di sini pada Selasa.
Majlis penyerahan zakat itu dilakukan oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZMAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman yang disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, zakat merupakan sebahagian daripada tanggungjawab syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Muslim dalam menunaikan kewajipan agama serta membantu golongan memerlukan.
Azhar berkata, McDonald’s Malaysia melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun menerusi rangkaian 385 restorannya di seluruh negara.
“Sebagai syarikat yang sentiasa dekat dengan komuniti, McDonald’s Malaysia telah menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak 2017. Antaranya menyambut hari jadi anak-anak yatim, menyumbang moreh ke masjid dan surau pada bulan Ramadan serta menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan.
“Kami sentiasa aktif menyantuni komuniti daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Dekati asnaf, fahami keperluan sebenar Menurut Azhar, penyerahan zakat dilakukan menerusi jelajah ke setiap negeri bagi membolehkan pihak syarikat mendekati penerima bantuan serta mengenal pasti keperluan mereka secara lebih dekat.
“Apabila kita turun ke setiap negeri, kita bukan sekadar menyerahkan zakat, tetapi turut mengadakan pelbagai program bantuan seperti pemberian Kotak Rezeki, peluang pekerjaan, sumbangan komputer riba kepada pelajar serta pengagihan makanan percuma,” katanya.
Jelajah berkenaan dimulakan di Kelantan pada Julai lalu, manakala Wilayah Persekutuan menjadi lokasi ke-10 program berkenaan dilaksanakan.
Azhar menjelaskan, jumlah zakat yang disalurkan ke setiap negeri ditentukan berdasarkan bilangan restoran McDonald’s yang beroperasi di kawasan terbabit.
“Di Wilayah Persekutuan, kita mempunyai 55 restoran dan sebanyak RM300,000 zakat diserahkan kepada PPZ-MAIWP,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 80 keluarga asnaf di Putrajaya menerima Kotak Rezeki mengandungi barangan keperluan harian, manakala 15 komputer riba disumbangkan kepada pelajar asnaf Kolej Profesional MAIWP.
Azhar berkata, sumbangan komputer riba bertujuan membantu pelajar mendapatkan kemudahan pembelajaran lebih baik, sekali gus memberi peluang kepada mereka mencapai keputusan cemerlang.
Selain itu, lebih 2,000 hidangan percuma diagihkan kepada orang ramai menerusi empat restoran McDonald’s iaitu Pandu-Lalu Putrajaya, Pandu-Lalu Setiawangsa, Pandu-Lalu Sentul UOA dan Desa Pandan.
McDonald’s Malaysia turut menyediakan kelas tuisyen percuma kepada pelajar daripada keluarga B40 dan asnaf dengan menyediakan tenaga pengajar serta bahan pembelajaran.
Azhar berkata, syarikat turut bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) untuk melaksanakan program Kembali ke Sekolah setiap tahun dengan menyediakan kelengkapan persekolahan kepada murid daripada keluarga memerlukan.
Pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan pertama yang menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP. Sijil itu mengiktiraf sumbangan zakat korporat yang dibuat oleh perniagaan di Malaysia di negeri-negeri Wilayah Persekutuan.
Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat ini melengkapi Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia.
Zakat perkukuh ekonomi umat Islam Sementara itu, mengulas mengenai pembayaran zakat korporat, Ahmad Fauwaz berkata, bidang ekonomi boleh menjadi salah satu medium untuk menyatukan umat Islam kerana keperluan asas seperti makanan dan bantuan merupakan perkara yang dikongsi semua lapisan masyarakat.
“Sumbangan zakat korporat bukan sahaja membantu golongan asnaf, malah perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekonomi umat Islam melalui pemilikan harta dan pengagihan semula kekayaan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut berpandangan syarikat korporat Islam wajar memainkan peranan lebih besar dalam menyediakan peluang pekerjaan serta mengembalikan sebahagian keuntungan kepada masyarakat yang menyokong perkembangan perniagaan mereka.