Lantikan Latheefa, Nik Nazmi gesa rakyat tandatangan petisyen

Iklan
Nik Nazmi. (Gambar kecil: Latheefa)

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa orang ramai agar menandatangani petisyen mendesak Latheefa Beebi Koya meletakkan jawatan sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, desakan itu selaras dengan komitmen Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang berikrar untuk merujuk kepada Jawatankuasa Parlimen terlebih dahulu sebelum pelantikan itu dibuat.

Iklan
Iklan

"Mari kita sama-sama tandatangan petisyen ini agar komitmen ini dipenuhi.

"Isu ini lebih besar daripada Latheefa tetapi tekad reformasi yang kita janjikan kepada rakyat," katanya menerusi satu kenyataan akhbar hari ini.

Iklan

Kenyataan Nik Nazmi itu menyusul meskipun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata pelantikan itu muktamad.

Selain Nik Nazmi seorang lagi wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Paduka Dr Tan Yee Kew turut menyeru orang ramai agar mendesak Latheefa meletakkan jawatan.

Iklan

Sementara itu,petisyen yang dijalankan di dalam laman sesawang, https://www.change.org telah ditandatangani kira-kira 5,851 individu setakat pukul 2.30 petang ini.

Pelantikan Latheefa dibuat selepas penyandang jawatan itu sebelum ini, Mohd Shukri Abdull memohon perkhidmatannya dipendekkan.

Latheefa ketika menjawab kritikan ramai menjelaskan sesiapa berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing berhubung pelantikannya.

Ujar beliau, sudah banyak pendapat yang dikeluarkan semenjak pelantikan itu diumumkan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.

Walau bagaimanapun pelantikan itu menimbulkan kritikan pelbagai pihak kerana pengamal undang-undang tersebut merupakan ahli PKR.

Namun beliau memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai ahli PKR.