Pulau Carey dijangka jana RM4.7 bilion KDNK, 115,000 peluang kerja

Iklan
Nga Kor Ming - Foto: Bernama

SHAH ALAM – Pembangunan Bandar Pelabuhan Maritim Nasional dan Zon Ekonomi Khas Pulau Carey berpotensi menyumbang sehingga RM4.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) serta mewujudkan kira-kira 115,000 peluang pekerjaan menjelang 2045.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembangunan strategik berkenaan diluluskan secara prinsip oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembangunan Pulau Carey berpotensi memperkukuh kedudukan Selangor dan Malaysia sebagai hab maritim serantau serta merangsang pertumbuhan ekonomi yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Pembangunan strategik Pulau Carey ini berpotensi memperkukuh kedudukan Selangor dan Malaysia sebagai hab maritim serantau, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat ketika Pelabuhan Klang kini telah berjaya menduduki tempat 10 teratas dunia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, pelan induk pembangunan Pulau Carey memberi tumpuan kepada pembangunan Bandar Pelabuhan Maritim Nasional serta Zon Ekonomi Khas Pulau Carey atau Carey Islands Port Special Economic Zone (CIPSEZ).

Katanya, pembangunan berkenaan melibatkan kawasan pelabuhan seluas 2,500 ekar dengan tambahan kapasiti pengendalian sebanyak 42 juta Unit Setara Dua Puluh Kaki (TEU) kontena dan 38 juta tan kargo konvensional.

Iklan

“Menurut Lloyd’s List One Hundred Ports 2026, Pelabuhan Klang kini berada dalam kelompok 10 pelabuhan kontena tersibuk di dunia.

“Dengan pembangunan Terminal Ketiga di Pulau Carey, kerajaan Madani berhasrat untuk terus meningkatkan kapasiti, kecekapan dan daya saing pelabuhan negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab maritim utama di peringkat global,” katanya.

Kor Ming memberitahu, kawasan pembangunan itu turut mempunyai akses strategik melalui Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jalan Pulau Carey, Persiaran Pulau Lumut, Lebuhraya Pulau Indah dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Kemudahan berkenaan penting bagi menyokong pergerakan barangan, aktiviti logistik serta hubungan antara kawasan pelabuhan dengan pusat ekonomi di sekitarnya.

Pada masa sama, beliau menyarankan Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT), terutama Majlis Perbandaran Kuala Langat, menyelaraskan zon guna tanah berkaitan pembangunan Pulau Carey ke dalam Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030.

“Penyelarasan perancangan guna tanah secara berfasa amat penting bagi memastikan pembangunan Pulau Carey dilaksanakan secara terancang, tersusun dan selaras dengan hala tuju pembangunan negeri serta keperluan infrastruktur dan persekitaran setempat,” katanya.