MACHANG - Depot imigresen negara berdepan tekanan kapasiti susulan operasi penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin yang dilaksanakan setiap hari, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, kapasiti keseluruhan depot imigresen adalah kira-kira 20,000 orang, namun kemasukan individu yang ditahan menerusi operasi berterusan menyebabkan kemudahan berkenaan berdepan kesesakan.
"Individu yang ditahan terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan, menggunakan pas yang telah tamat tempoh, menyalahgunakan pas yang dikeluarkan atau individu berstatus pelarian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tahun 2026 di sini pada Sabtu.
Saifuddin Nasution berkata, tindakan terhadap setiap kategori perlu mengambil kira status dan kedudukan undang-undang masing-masing, dengan operasi turut melibatkan agensi penguatkuasaan lain serta pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, beliau berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dikenal pasti sebagai empat negeri yang mencatatkan kadar penglibatan dalam kes dadah melebihi ambang nasional berdasarkan kadar bagi setiap 100,000 penduduk.
Beliau berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan data daripada empat sumber dengan menggunakan kaedah pengiraan yang merujuk kepada piawaian antarabangsa.
"Daerah Pendang di Kedah mencatatkan kadar tertinggi di negara ini, diikuti Kuala Krai di tempat kedua. Turut dikenal pasti ialah Tumpat, Tanah Merah dan Bachok di Kelantan serta Besut di Terengganu, yang mencatatkan kadar melebihi 1,000 bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, data berkenaan akan digunakan untuk mengenal pasti kawasan yang memerlukan pendekatan pencegahan dan penguatkuasaan lebih bersasar.
Beliau berkata, kerjasama antara KDN, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis dan kerajaan negeri penting bagi mempergiat program kesedaran serta pencegahan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata kira-kira 75 peratus daripada 90,000 penghuni penjara di seluruh negara terlibat dengan kesalahan berkaitan dadah.
Beliau berkata, kebanyakan mereka merupakan pesalah yang dikaitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Seksyen 12 dan Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Daripada 41 penjara di seluruh negara, Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu adalah antara penjara yang paling sesak.
"Berdasarkan profil penghuni penjara, golongan berusia antara 15 hingga 39 tahun merupakan kumpulan tertinggi, manakala penglibatan individu berusia bawah 15 tahun dalam kes berkaitan dadah turut membimbangkan," katanya.
Saifuddin Nasution berkata, data turut menunjukkan individu yang tidak bekerja mendominasi golongan yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, dadah sintetik lebih banyak dikaitkan dengan kes di Pantai Timur manakala di Pantai Barat, pengambilan dadah melibatkan gabungan bahan sintetik dan bukan sintetik.
"Pengambilan dadah sintetik sangat tinggi kerana ia lebih mudah diperoleh," katanya. - Bernama