MACHANG - Polis melaksanakan kawalan 24 jam di semua sempadan Kelantan bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, arahan itu diberikan kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bagi memastikan kawalan fizikal dilaksanakan secara berterusan.
"Antara langkah yang diambil ialah memusnahkan jeti haram serta menguatkuasakan undang-undang terhadap individu yang merentas sempadan tanpa dokumen sah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tahun 2026 di sini, pada Sabtu.
Bagaimanapun, langkah penguatkuasaan itu tidak semestinya dapat menghapuskan sepenuhnya kegiatan jenayah rentas sempadan kerana ia membabitkan rangkaian jenayah terancang yang telah bertapak sejak sekian lama.
Justeru, Saifuddin Nasution berkata, usaha membanteras kegiatan berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh bergantung kepada KDN serta polis semata-mata.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai kes melibatkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, beliau berkata, polis sedang melengkapkan beberapa aspek dalam kertas siasatan berhubung insiden itu selepas Jabatan Peguam Negara meminta penambahbaikan sebelum keputusan lanjut dibuat.
Saifuddin Nasution berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan kepada AGC dalam tempoh seminggu selepas insiden berkenaan.
Beliau berkata, AGC kemudian meminta polis melengkapkan beberapa aspek siasatan bagi memastikan maklumat dan keterangan yang dikumpulkan mencukupi untuk pertimbangan lanjut.
Kertas siasatan berkenaan merangkumi kenyataan saksi dan maklumat yang dikumpulkan sepanjang proses siasatan.
Beliau berkata, AGC boleh mengembalikan kertas siasatan kepada polis untuk dilengkapkan sekiranya terdapat maklumat tambahan yang diperlukan sebelum keputusan dibuat.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilapor berkata, siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.
Mohd Khalid berkata, setakat ini sebanyak 25 saksi dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku pada 28 Sept lepas.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular yang memaparkan dirinya memarahi seorang individu di KLIA Terminal 1.
Mohd Shuhaily berkata, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri dan beliau bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu itu. - Bernama