Kontraktor projek jambatan Sungai Plentong perlu disenaraihitam

Iklan
Liow Cai Tung

JOHOR BAHRU - Kontraktor yang menjalankan projek Jambatan Sungai Plentong di Jalan Masai Lama, di sini, perlu disenaraihitamkan daripada mendapat projek kerajaan pada masa depan berikutan berterusan gagal menyiapkan projek sedia ada, kata ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.

Beliau berkata projek itu yang bermula pada 10 Oktober 2016, sepatutnya siap pada 25 Februari tahun lepas, telah dilanjutkan sehingga Ogos, dan walaupun diberi lagi tempoh masa, projek itu sehingga kini masih lagi gagal disiapkan oleh kontraktor Ikatan Harmoni Sdn Bhd.

Iklan
Iklan

"Memandangkan (melihat) prestasi kontraktor dan cara pelaksanaan kerja, saya berasa kontraktor ini perlu disenarai hitamkan daripada mendapat projek-projek kerajaan pada masa yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

"Pada masa sama, saya sekali lagi meminta mereka (kontraktor) agar menjalankan tanggungjawab untuk menyiapkan projek terbabit dalam masa terdekat dan sentiasa mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya lagi.

Iklan

"Ini termasuk memasangkan lampu jalan sementara demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya dan menyiapkan kerja menaik taraf jalan di hadapan Pasaraya Giant Plentong agar dapat dibuka pada Jun ini kerana ia merupakan sebahagian daripada skop kerja projek,” tambahnya.

Cai Tung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri membuat kenyataan itu susulan lawatan kerjanya ke tapak projek berkenaan hari ini bagi meninjau perkembangannya.

Iklan

Turut menemaninya ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Johor, Solihan Badri. - Bernama