JOHOR BAHRU - Pejabat Kawalselia Padi Beras (KPB) negeri akan melantik syarikat-syarikat terpilih untuk membekalkan beras di kedai dan pasar raya di negeri ini yang mengalami kekurangan bekalan beras.
Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Johor, Noorman Kamsani berkata, usaha itu merupakan langkah jangka panjang pihak KPB negeri dalam menangani masalah bekalan beras.
"Langkah ini akan diperkenalkan kepada rakyat untuk menjamin stok keperluan beras mencukupi kepada semua rakyat di Johor ini.
"Perkara ini dimaklumkan pegawai dan wakil pihak KPB negeri dalam pertemuan dengan saya di Pejabat MTPN, Austin Height di sini semalam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Isnin, Noorman memberitahu, pihak MTPN menerima sehingga 30 aduan setakat ini berkenaan kenaikan harga beras putih tempatan antara RM33 sehingga RM39 untuk satu setiap pek 10 kilogram.
Menurutnya, tinjauan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain di beberapa pasar raya di sini mendapati bukan sahaja harga mahal tetapi pelanggan berdepan kesukaran mendapatkan stok beras tempatan kerana cepat habis.
Mengenai pertemuan tersebut, beliau berkata, pihak KPB negeri memberi jaminan akan memberikan komitmen yang tinggi bagi menyelesaikan aduan pengguna berkaitan isu beras dibangkitkan pihak MTPN.
Dalam pada itu, Noorman berkata, MTPN sedang menambah baik aplikasi #Idenfic untuk orang ramai membuat aduan terhadap salah laku peniaga terutama yang menipu dan memanipulasi harga beras ketika ini.
Jelas beliau, pihaknya akan menyalurkan maklumat tersebut terus ke Pejabat KPB negeri supaya tindakan segera dapat diambil.
"Aplikasi ini yang dibangunkan MTPN boleh dimuat turun secara percuma. Kita harap pengguna memanfaatkan aplikasi ini," katanya.