Muhammad Hafizuddeain dilantik Panglima Tentera Darat

Iklan
Mohamad Hassan (dua dari kiri) ketika acara pemakaian pangkat kepada Panglima Tentera Darat ke-30, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan ketika Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera Darat di Wisma Pertahanan, pada Rabu. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Timbalan Panglima Tentera Darat (PTD), Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik sebagai PTD yang ke-30 berkuat kuasa hari ini.

Muhammad Hafizuddeain, 55, turut dinaikkan pangkat sebagai Jeneral dan mengambil alih jawatan nombor satu dalam Tentera Darat daripada Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Iklan
Iklan

Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas PTD disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Pertahanan di sini pada Rabu.

Muhammad Hafizuddeain, 55, yang dilahirkan di Segamat, Johor pada 18 April 1968, sebelum ini dilantik sebagai Timbalan PTD pada 23 Mac tahun ini.

Iklan

Mendapat pendidikan menengah dari Maktab Tentera Diraja pada 1985, Muhammad Hafizuddeain memulakan khidmat pada 19 Ogos 1986 sebagai Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan sebagai Lt Muda dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dua tahun kemudian.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memiliki pengalaman yang cukup luas kerana telah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai pemerintah, staf dan jurulatih.

Iklan

Sepanjang perkhidmatan, beliau juga menghadiri pelbagai kursus antaranya Diploma Sains Pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara, Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, Sarjana Pengurusan di Filipina, Infantry Officer Advance Course di Amerika Syarikat dan Royal College of Defence Studies di United Kingdom.

Antara jawatan penting yang pernah disandang Muhammad Hafizuddeain ialah Pegawai Memerintah di Batalion Keempat RAMD (2003-2005), Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia (2018-2020) dan Panglima Medan Barat Tentera Darat (2021-2023).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Staf di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (2009-2010), Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Dasar MINDEF (2014-2016) dan Ketua Staf di Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (2016-2017). - Bernama