SISTEM video bantuan pengadil (VAR) akan dilaksanakan dalam Liga Malaysia (Liga-M) hanya setelah segala persiapan rapi selesai dilakukan bagi penggunaan teknologi tersebut.
Itu perkembangan terkini mengenai status VAR dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam.
Jelas Stuart, MFL tidak mahu tergesa-gesa dalam melaksanakan VAR tanpa persediaan rapi yang boleh mengganggu kelancaran penggunaan teknologi dalam saingan liga tempatan.
"Ya, MFL akan melakukan perbincangan bersama pihak berkaitan termasuk memastikan para pengadil kita cukup bersedia menggunakan VAR sebaik teknologi itu digunapakai walaupun pengadil kita telah menjalani sesi latihan.
"Wakil FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) pun ada bersama kita untuk pastikan perbincangan dalaman bersama FAM diadakan sebelum MFL dan FAM dapat mengumumkan garis masa pelaksanaan VAR di dalam perlawanan Liga Malaysia.
"Namun pada masa sama kita perlu mempertimbangkan beberapa aspek berkaitan teknologi ini, jaringan internet dan juga latihan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini memberi bayangan menggunakan VAR pertama kali dalam Liga-M pada aksi final Piala Malaysia Disember depan bagi meningkatkan lagi mutu pengadilan di negara ini.
Dalam pada itu, Stuart juga memaklumkan MFL juga mencari penyelesaian untuk memastikan teknologi VAR sesuai digunakan di stadium utama di setiap negeri.
"Penyelesaian VAR yang paling murah dan digunakan satu dunia adalah sistem berpusat, tetapi ia memerlukan kestabilan ketersambungan.
"Kita tahu di Malaysia kestabilan ketersambungan di peringkat stadium tidak stabil dan tidak memberi peluang untuk kita laksanakan penyelesaian tersebut.
"Mungkin dalam seminggu lagi kita akan bagi keterangan lebih lanjut penyelesaian mana akan diambil di Malaysia yang sedikit berbeza dengan apa yang kita lihat di televisyen,” katanya.