Tujuh ditahan insiden pergaduhan di luar Stadium Bandaraya

Iklan
Cermin bas yang dinaiki penyokong Kedah pecah dalam insiden pergaduhan di luar Stadium Bandaraya, pada malam Selasa.

GEORGETOWN - Tujuh lelaki ditahan disyaki terlibat dalam pergaduhan yang berlaku di luar Stadium Bandaraya, di sini selepas selesai perlawanan Liga Super antara pasukan Pulau Pinang dan Kedah, pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua berusia antara 18 hingga 38 tahun itu kini direman selama dua hari dan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kesemua yang berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

"Selain menangkap tujuh lelaki yang terlibat dengan pergaduhan itu, kita turut merampas dua biji batu, dua biji kon jalan dan sebatang kayu yang digunakan mereka ketika merusuh," katanya menerusi kenyataan, di sini pada Rabu.

Iklan

Soffian berkata, cermin pintu sebuah bas yang membawa penyokong pasukan Kedah turut pecah akibat ditumbuk oleh salah seorang suspek.

Selain itu, katanya dua suspek yang ditahan turut mengalami kecederaan di kepala akibat terkena balingan batu.

Iklan

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas dari pengaruh dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

"Pihak polis berharap orang ramai tidak lagi menularkan rakaman video berkaitan insiden itu untuk mengelak sebarang spekulasi," katanya.