ISKANDAR PUTERI - Satu usul melibatkan pemetaan semula persempadanan perairan Singapura-Malaysia melibatkan perairan Johor khususnya Selat Tebrau akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), bulan depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, beliau akan membawa usul itu susulan timbul beberapa isu melibatkan nelayan tempatan di Selat Tebrau dan pihak berkuasa Singapura yang menjaga perairan itu, sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, perkara itu perlu dilihat secara serius daripada kerajaan negeri dan juga Persekutuan agar langkah pemetaan dapat dibuat dengan kadar segera.
"Saya akan membawa usul pemetaan semula persempadanan perairan Singapura-Malaysia khususnya Selat Tebrau pada 11 September depan kerana terdapat insiden baharu yang berlaku pada dua hari lepas.
"Sebelum ini, insiden melibatkan nelayan dan pihak berkuasa Singapura berlaku pada Oktober tahun lepas. Jika perkara ini tidak dibawa ke sidang DUN, isu ini tidak akan selesai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pandak berkata sebelum ini, perkara sama turut diusulkan beliau pada sidang DUN tahun lepas, namun setakat ini tiada perkembangan diterima setelah perkara itu dibangkitkan.
Beliau berkata pada Oktober 2022, terdapat insiden pertengkaran mulut sekumpulan nelayan tempatan dan pihak berkuasa Singapura di kawasan Pasir Laba berdekatan jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di sini.
Kejadian terbaharu pada dua hari lepas pula melibatkan empat nelayan tempatan mendakwa jaring mereka rosak dilanggar bot pihak berkuasa Singapura di perairan Selat Tebrau, juga berhampiran jambatan Linkedua.
Sementara itu, nelayan Kampung Pendas Faizan Wahid, 42, yang berpengalaman lebih 30 tahun menangkap hasil laut berkata kejadian itu berlaku pada 7 pagi, Isnin, ketika dia dan tiga nelayan lain sedang memasang jaring untuk menangkap udang di tempat kejadian yang merupakan perairan negara.
Katanya, satu laporan polis juga telah dibuat semalam di Balai Polis Tanjung Kupang, di sini pada 12.46 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan menjelaskan siasatan lanjut akan dijalankan. - Bernama