PRN: 8 kertas siasatan dibuka semasa kempen PRN Kelantan

Iklan
Muhamad Zaki (tiga dari kiri) bersama barisan pegawai dan anggota menunjukkan jari berdakwat selepas selesai mengundi awal di pusat pengundian Taman Asuhan Kanak-kanak IPK Kelantan di Kota Bharu di Kota Bharu pada Selasa.

KOTA BHARU - [KEMAS KINI] Polis Kelantan membuka lapan kertas siasatan termasuk satu kes melibatkan wang dalam tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan hingga Selasa.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kes-kes melibatkan tiga di Kota Bharu dan beberapa di daerah lain termasuk Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jumlah laporan yang diterima polis berkait kesalahan sepanjang kempen tersebut adalah lebih banyak namun lapan kes berkenaan betul-betul menjurus kepada siasatan polis.

"Kertas siasatan yang dibuka setakat ini ialah satu melibatkan wang manakala lain-lain kerana khianat dan mengaibkan.

Iklan

Beliau turut melaksanakan tanggungjawab mengundi awal pada PRN bagi Dewan Undang Negeri (DUN) Kota Lama.

Kata Muhamad Zaki, pihaknya masih dalam proses untuk mengambil rakaman percakapan berkaitan kes-kes berkenaan sebelum menghantar kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.

Iklan

"Kes-kes sebegini memerlukan ketelitian sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan susulan.

"Seperti arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, kami akan pastikan kertas siasatan ini siap dalam tempoh seminggu,” ujarnya.

Menurut beliau, kawalan ketat akan diteruskan pihaknya menerusi 34 Pasukan Cantas di setiap kawasan bagi mengekang dan mengenal pasti kumpulan-kumpulan yang mungkin menimbulkan kekacauan sepanjang kempen hingga tempoh pengundian, Sabtu ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan pengundian awal tersebut, beliau berkata, seramai 11,205 anggota dan pegawai polis serta tentera di Kelantan menunaikan tanggungjawab mereka di 33 pusat pengundian awal.

"Proses undi bermula pada jam 8 pagi sehingga 5 petang dan berlangsung dengan baik,” katanya.