Ketua Polis KL selami kesulitan OKU penglihatan

Iklan
Mohd Shuhaily (kiri) merasai pengalaman sebagai OKU penglihatan dengan memakai penutup mata.

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain mengambil peluang merasai pengalaman sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan melalui laluan pejalan kaki dengan mata tertutup di sekitar Jalan Thambipillay di sini pada Rabu.

Mohd Shuhaily bersama pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, diiringi pegawai-pegawai kanan Polis Kuala Lumpur melalui laluan yang digunakan OKU penglihatan bagi merasai kesulitan OKU penglihatan.

Iklan
Iklan

Mohd Shuhaily berkata, masyarakat di Kuala Lumpur seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menjaga hak yang dimiliki oleh golongan istimewa itu.

"Cuba bayangkan apabila motosikal dalam keadaan ekzos yang masih panas diletakkan di tempat laluan orang buta, ia akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan, walaupun kenderaan itu diletakkan dalam tempoh yang sekejap," katanya dalam program Santuni OKU Penglihatan bersama Polis Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi dan menghormati undang-undang jalan raya dengan meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan serta tidak menghalang laluan pejalan kaki dan laluan kemudahan khas bagi golongan OKU penglihatan.

"Kepatuhan kepada undang-undang oleh pengguna jalan raya merupakan kejayaan dalam mendidik diri untuk berdisiplin dan mengamalkan pemanduan yang berhemah serta selamat.

Iklan

"Saya berharap pendidikan dan disiplin dalam konteks pematuhan terhadap kepentingan OKU penglihatan seperti ini dapat diterapkan sejak di bangku sekolah rendah lagi," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, sebanyak 1,061 saman halangan lalu-lintas dikeluarkan di sekitar kawasan Jalan Thambipillay sehingga kawasan Stesen Monorel Brickfields, selain kesalahan halangan pejalan kaki dan larangan meletak kenderaan sejak 3 Julai lalu hingga Ahad.