Perhilitan selamatkan beruang matahari cedera

Iklan
Beruang berkenaan dibawa masuk ke dalam perangkap pindah untuk dibawa ke Pejabat Perhilitan Bandar Penawar bagi mendapatkan rawatan awal.

KOTA TINGGI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menyelamatkan seekor beruang matahari jantan yang dijumpai orang awam dalam keadaan cedera dan lemah, semalam.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan haiwan terancam itu di ladang Felda Bukit Easter kira-kira jam 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Beruang matahari itu ditemui di bawah pokok kelapa sawit di dalam kawasan ladang tersebut. Pemeriksaan dilakukan dan terdapat luka di bahagian belakang badan.

"Beruang itu bernafas dalam keadaan tercungap-cungap serta lemah kemungkinan kehilangan banyak darah akibat kecederaan dialami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Menurutnya, saksi memberitahu ternampak beruang tersebut berlari merentasi sungai cetek kemudian naik ke tebing sebelum rebah ke kawasan pokok kelapa sawit.

"Kesan kecederaan masih disiasat namun ia berkemungkinan disebabkan pergaduhan dengan beruang yang lain atau sebab-sebab tertentu," katanya.

Iklan
Beruang berkenaan dibawa masuk ke dalam perangkap pindah untuk dibawa ke Pejabat Perhilitan Bandar Penawar bagi mendapatkan rawatan awal.

Salman berkata, beruang berkenaan berjaya dibawa masuk ke dalam perangkap pindah yang kemudiannya dibawa ke Pejabat Perhilitan Bandar Penawar untuk diberikan rawatan awal.

"Beruang itu nanti dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Sungkai, Perak untuk rawatan lanjut selepas keadaannya stabil.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri ketika terjumpa beruang serta maklumkan segera kepada pihak jabatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, beruang matahari adalah spesies terancam serta dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).