Jenaka MH370: 'Pelawak perlu tahu sensitiviti, empati'

Iklan
Harith menerusi ciapan di twitternya memberikan respons berhubung jenaka Jocelyn terhadap tragedi kehilangan MH370.

SHAH ALAM - Pelawak terkenal Malaysia, Harith Iskander hari ini tampil mengulas mengenai jenaka pelawak daripada Singapura, Jocelyn Chia berkaitan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 selepas ramai yang meminta beliau memberikan pandangan.

Menerusi video di Twitter miliknya, beliau menegaskan bahawa setiap pelawak perlu cakna tentang sesitiviti dan mempunyai empati sewaktu mengadakan persembahan komedi kerana ia menimbulkan keresahan rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

"Sebagai pelawak, saya menghormati kebebasan bersuara yang diberikan kepada pelawak tetapi penting untuk lebih peka dan empati menggunakan isu sebagai bahan jenaka terutama topik yang sangat peribadi serta tragis.

"Komedi boleh menjadi alat yang berkuasa sebagai ulasan sosial tetapi mesti digunakan secara bertanggungjawab,” katanya pada Rabu.

Iklan

Tindakan Jocelyn yang memperlekeh dan menghina negara menerusi persembahan komedi berdirinya disifatkan sebagai melampau oleh netizen.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai modal jenaka sehingga menimbulkan kemarahan warganet.

Iklan

Menerusi video tular berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok, pelawak itu menyifatkan pembangunan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura bergelar negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Menurut Harith, pelawak sebagai artis perlu sedar tentang impak daripada kata-kata yang keluar daripada mulut mereka.

"Komedi seperti semua bentuk seni di mana ia berdasarkan ekspresi subjektif. Ia membawa maksud apa yang melucukan bagi seseorang mungkin tidak lucu kepada orang lain.

"Jocelyn sepatutnya lebih lebih bijak apabila berjenaka terutama apabila memilih penonton Malaysia dan menyentuh tentang MH370,” ujar beliau.