Padah tawar kereta sapu

Iklan
Penguatkuasa JPJ memeriksa seorang pemandu kereta sapu yang ditahan di Jeti Penumpang Port Dickson.

PORT DICKSON - Tindakan tiga individu menjalankan perkhidmatan kereta sapu di Jeti Penumpang Port Dickson, di sini membawa padah apabila dicekup Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, operasi penguatkuasaan khas dilakukan pihaknya itu susulan aduan berulang yang diterima.

Iklan
Iklan

"Bertindak atas maklumat itu, seramai 15 anggota terlibat dalam operasi yang dilaksanakan pada Isnin lalu.

"Tiga individu telah dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan menurut peruntukan Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat(APAD) 2010," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, risikan mendapati, kereta sapu berkenaan aktif beroperasi antara jam 10 pagi hingga 4 petang iaitu waktu feri berlepas dan feri sampai di jeti.

Sementara itu katanya, operasi berkenaan dilaksanakan untuk mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu kereta sapu yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Iklan

"Mana-mana orang, tanpa kuasa yang sah, memujuk atau mendesak bagi maksud menawarkan perkhidmatan yang berkaitan dengan menerima sewa atau upah untuk membawa penumpang adalah satu kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Ujarnya, orang ramai yang ingin menggunakan pengangkutan awam dinasihatkan menggunakan perkhidmatan kereta sewa atau mana-mana pengangkutan awam yang mempunyai lesen yang sah bagi memastikan perjalanan lancar dan selamat.

Justeru itu katanya, JPJ akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan berterusan untuk membendung aktiviti kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tanpa lesen yang sah.