'Boleh bagi pandangan, tapi jangan fitnah' - Anwar

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan selepas meninjau blok bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Hassan Haji Sail yang terbakar dalam satu kejadian pada tahun lepas. - Foto Bernama

REMBAU - Tidak sepatutnya isu penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak terus dijadikan isu oleh sesetengah pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesiapa pun boleh memberi teguran dan pandangan berhubung perkara itu, tetapi jangan sehingga menimbulkan fitnah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia perlu bersandarkan kepada fakta iaitu tiada sebarang pertukaran dasar berhubung isu kalimah Allah yang diputuskan sejak tahun 1986.

"Kita bergelut lagi dengan isu kalimah Allah. Apa perbezaannya? Tiada perbezaan dengan keputusan kerajaan dan Majlis Raja-Raja Melayu sejak 1986.

Iklan

"Walaupun ada pandangan berbeza, tapi keputusannya ialah bahawa kalimah Allah itu hanya digunakan dalam masyarakat Islam dan tidak boleh kepada bukan Islam melainkan Sabah dan Sarawak diputuskan ia dibolehkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di Pedas di sini pada Jumaat.

Iklan

Ujarnya, tidak sepatutnya isu itu dibangkitkan kerana kerajaan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan kalimah Allah dibenarkan kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak kerana ia melibatkan keputusan yang telah dimuktamadkan sejak tahun 1986.

"Kalau kerajaan dah tahu salah kenapa kerajaan nak rayu. Adakah ini bermakna kita menyerah kalah?

"Tidak... sebab keputusan tidak boleh menukar dasar yang ditetapkan. Kita nak bawa mahkamah dan tahu memang tiada kes untuk menang, tak cerdiklah namanya," katanya.

Tegasnya, jika Majlis Raja-Raja Melayu mengubah dasar sedia ada dengan memutuskan penggunaan kalimah Allah tidak dibenarkan kepada orang bukan Islam di seluruh negara, kerajaan akan patuh.

"Itu bukan keputusan saya. Itu keputusan Majlis Raja-Raja Melayu dan kerajaan dari dulu termasuk semasa parti-parti lain yang memerintah sebelum ini.

"Mereka tak ubah pun... Tiada perubahan sama sekali dalam tiga tahun lalu. Jadi, kenapa harus dikecam?," soalnya.

Ahad lalu, media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah' dan tiga perkataan Arab yang lain- 'Baitullah', 'Kaabah' dan 'solat' dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.